Suluh Ilmu Sinar Bahasa
Pesanan kepada anakanda
di perantauan
angin teluk membadai pulau,
hanyut rumpai dibawa tenggiri;
biar jauh anakanda merantau,
asal pandai membawa diri.
burung merpati pulang ke sarang,
sarang dibuat di pohon merbah;
berhati-hati di tempat orang,
ingat pesanan ibu dan ayah.
malam hari pasang pelita,
cahaya menyuluh setiap ketika;
sopan santun budaya kita,
amalkan selalu di mana berada.
orang dayak memacu kuda,
kuda dipacu kanan dan kiri;
walaupun banyak ilmu di dada,
jangan anakanda menyombong diri.
Dr. Hjh. Noor Zila binti Md. Yusuf
JPM, IPG Kampus Darulaman
Mei 2016
Bayangan
Masa lalu itu,
cuma bayangan hitam
yang harus kau tinggalkan.
Usah membiarkan jiwa kau terjebak
dengan luka lama yang sia-sia
sedang kau bisa memilih
untuk kembali mencipta tawa.
Berhenti hidup dalam kenangan
sakit sahaja yang kau bakal rasa.
Pandanglah ke depan
ada cahaya sedang melambai
keriangan,
Bahagia itu selalu ada
tinggal kau sahaja,
mahu mendekatinya,
atau langsung tak pandang.
Dan Tuhan,
takkan persia,
walau seinci pun
sakit yang kau rasa.
Bertahanlah,
gagahkan jiwa
kuatkan hati.
Pasti bahagia kan muncul.
Haifa
PPISMP PK2 (Sem.2 Ambilan Jun 2015)
JPM IPGKDA