Suluh Ilmu Sinar Bahasa (Bil.5 Mei 2016) | Page 4

Suluh Ilmu Sinar Bahasa Mei 2016
JPM IPGKDA
MUSAFIR ILMU: MEMAKNAKAN Ph. D
Oleh Noor Zila binti Md. Yusuf
Perjalanan yang panjang sebagai musafir ilmu bukanlah kayu pengukur bahawa kembara itu akan sampai di penghujung perjalanan. Liku-liku perjalanan menuju destinasi yang entah bila akan sampai perlu ditempuh sabar. Jatuh bangun dalam meniti onak duri dan lopak gersang hampir membuahkan rasa kecewa,‘ give up’ dan putus asa. Malah, ada yang rebah dalam kepayahan. Ingin berpatah balik, sudah jauh rasanya kembara ini. Ingin berlari moga cepat sampai tidak mampu dek halangan yang sentiasa menguji kekuatan diri.
Wahai musafir ilmu,
Sedarkah kita apa makna Ph. D yang sebenarnya. Berbanggakah kita dengan apa yang kita kaji. Berbanggakah kita dengan tesis yang kita tulis. Kita boleh berbangga, namun cukupkah dengan hanya menulis tesis itu kita menjadi pakar? Berapa ramai yang membaca tesis kita? Berapa ramai yang membaca hasil kajian kita? Berapa ramai yang faham apa yang kita tulis? Sudah boleh menjadi pakarkah, andai setitis sahaja ilmu yang digarap dimanfaat oleh orang lain.
Wahai musafir ilmu,
Usah kita bangga dengan apa yang kita tulis, tapi berbanggalah dengan kepayahan yang kita lalui dalam kembara mencari ilmu. Berapa ramai yang sudah rebah, berapa ramai yang sudah tersungkur dan berapa ramai pula yang bangun? Yang masih teguh berdiri, perlahanlahan melangkah menuju destinasi. Yang ingin menamatkan kembara, rasanya sudah jauh perjalanan... teruskanlah dengan mengharapkan pertolongan yang Maha Esa kerana kita hamba yang tiada daya melainkan dengan pertolongan-Nya.
Wahai musafir ilmu,
Kembaralah kerana Allah, kerana dengan kembara ini kau akan temui satu falsafah yang tiada nilainya. Falsafah yang sentiasa menuntut agar kita sentiasa bersyukur, sentiasa kuat melawan dugaan dan sentiasa tawaduk terhadap penciptanya. Setiap yang kau temui dalam kembara ini, setiap masalah, setiap halangan, jatuh bangunnya dalam bermusafir akan membentuk satu falsafah. Proses inilah Ph. D. Bukan tesis, bukan apa yang kita tulis, bukan apa yang dikaji. Tak perlu berbangga dengan hasilan tesis itu! Berbanggalah dengan apa yang kita lalui dalam kembara ini. Jadilah pakar dalam selok belok perjalanan yang kaulalui. Tesis hanyalah bukti bahawa kita telah melalui perjalanan ini.
Wahai Musafir ilmu,
Teruskan menjadi pembuka jalan kepada rakan-rakan yang hampir rebah, menaikkan semangat rakan-rakan yang baru memulakan langkah, menggerakkan rakanrakan yang hampir sampai ke puncak. Dan kamu akan berasa puas.
Wahai musafir ilmu,
Fahamilah falsafah ini. Secara tersuratnya Ph. D ialah tesis, tetapi tersiratnya nilai-nilai yang lahir daripada perjalanan yang panjang untuk menemui satu titik bagi mendapatkan segulung ijazah. Nilai-nilai yang tidak ada pada orang lain hanya orang yang melalui jalan yang satu ini. Jalan menuju ke puncak...
Kuabadikan nukilan ini buat insan-insan teristimewa dalam hidupku.
Buat Allahyarham ayahanda Md. Yusuf bin Awang dan Allahyarhamah bonda Rubiah binti Ismail, saat kalian menghembuskan nafas terakhir, kutanam semangat yang kental untuk mengubah nasib keluarga.
Buat suami tercinta Amir bin Juhari, saat aku hampir rebah dalam kepayahan ini kau tak pernah henti menyokong dan memberi semangat.
Buat anak-anak tersayang, Nur Fahada, Nur Fariha, Muhammad Firzan dan Nur Farisha, saat kalian meminta perhatian, ibu terleka, maafkan ibu atas kesibukan yang tiada henti.
Buat pensyarah penyelia yang dihormati Dr. Vijayaletchumy saat aku ketandusan idea, kau tabah membimbing, pembakar semangat, mencurah ilmu.
Buat kakak, abang, adik, keluarga mentua, rakan-rakan dan majikan, terima kasih atas sokongan yang padu.
Sesungguhnya, Jerih, perih, onak, duri, suka, duka kutempuh sabar. Kini, sebuah kejayaan sudah digenggam. Syukur Ya Allah, kerana memberi ruang dan peluang dalam kembara mencari ilmu. Menjadikan aku seorang musafir yang sentiasa mensyukuri nikmat yang engkau berikan.