Suluh Ilmu Sinar Bahasa (Bil.3 Sept.2014) | Page 6
Sinar Ilmu Suluh Bahasa . Bilangan 3 Sept. 2014
‘Bahasa Antara’ dalam Pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua
Oleh :Noor Zila Md. Yusuf
Manusia memperoleh bahasa pertama
secara semula jadi sejak dilahirkan dan dianggap
sebagai bahasa ibunda. Apabila perkembangan pesat
berlaku manusia mula mempelajari bahasa kedua
secara formal. Dalam proses mempelajari bahasa
kedua ini kadang-kadang berlaku pertukaran kod,
pemindahan kod dan tidak kurang penting juga
wujud bahasa lain di antara kedua-duanya. Bahasa
yang wujud di antara bahasa pertama dan bahasa
kedua ini disebut, ‘Bahasa Antara’. ‘Bahasa Antara’
(BA) ialah istilah yang digunakan dalam kajian
pemerolehan dan pembelajaran bahasa kedua.
Bidang ini sangat berkait rapat dengan kajian yang
melibatkan bahasa pertama (B1) dan bahasa kedua
(B2) yang tergolong dalam disiplin linguistik gunaan.
Pengkaji yang bertanggungjawab memperkenalkan
istilah BA (Interlanguage) ialah Selinker (1992, 1975).
Pada ketika itu, istilah BA digunakan untuk merujuk
jenis tatabahasa yang sementara, yang terbentuk
semasa individu sedang berusaha untuk menguasai
B2. Fenomena BA yang dimaksudkan ialah peringkat
peralihan daripada B1 kepada B2. BA bersifat
sementara, sentiasa berubah-ubah, dan dibentuk
oleh pelajar B2 semasa menuju penguasaan bahasa
sasaran. Nemser (1971) merujuk BA sebagai satu
devian B2, iaitu kecekapan transional atau sistem
aproksimatif. Faerch (1983) pula merujuk BA sebagai
satu sistem yang menerang tentang kepelbagaian
penggunaan bahasa pada tahap tertentu yang
berlainan dalam proses pemerolehan bahasa. Beliau
mengatakan bahawa, kajian BA yang dibuat adalah
untuk mengkaji dan melihat hasil pembelajaran B2,
iaitu kajian untuk mentakrif, menjelaskan serta
mengkategorikan bahasa yang akan melibatkan
analisis kesilapan.
Ellis (1987) pula mengatakan bahawa BA ialah satu
pengetahuan B2 yang sistematik yang bebas daripada
B1 dan bahasa sasaran. Beliau menyatakan bahawa
BA digunakan secara berbeza tetapi mempunyai
pertalian dan perkaitan makna yang berbeza-beza.
Antaranya ialah BA sebagai satu ciri sistem yang
mencirikan pemerolehan bahasa, BA sebagai satu
sistem yang memperlihatkan tahap perkembangan
bahasa dan juga BA sebagai satu bentuk bahasa yang
bergabung dengan satu bahasa yang lain. Bagi Corder
(1973), beliau menggunakan istilah kecekapan
transional untuk merujuk kepada BA dengan
menyatakan bahawa BA ialah satu ujaran yang tidak
tepat yang terhasil apabila seseorang mempelajari
B2. Dalam proses memperoleh B2, pelbagai kesilapan
boleh berlaku oleh semua penutur. Oleh itu,
kesilapan ini dinyatakan oleh Corder sebagai satu
bukti yang dapat menunjukkan bahawa proses
pembelajaran sedang berlaku. Selain itu, Corder turut
menyatakan bahawa BA ialah satu sistem bahasa
yang bersifat sistematik yang terhasil daripada
kesilapan yang dilakukan dalam proses pemerolehan
bahasa.
Orang Melayu selaku penutur jati perlu mempunyai
keyakinan terhadap upaya Bahasa Melayu (BM) khususnya
un tuk memajukan anak bangsa. Orang Melayu mesti
menunjukkan contoh teladan bahawa BM itu mampu
membina tamadun. Tindakan segelintir orang Melayu yang
mempertikaikan keupayaan BM untuk membangunkan
negara dan memandaikan anak bangsa seakan-akan
menafikan seluruh upaya bangsa Melayu.