YANG DIPERTUA PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU
Sebelum meneruskan bicara, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada
semua yang terlibat, khususnya Sidang Redaksi Semarak Jaya 2015 dalam menjayakan penerbitan majalah
edisi sulung ini.
Terima kasih juga di atas kesempatan yang diberikan untuk saya melakarkan kata aluan di sini. Saya juga ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan YDP PIBG terdahulu yang turut menyumbang kepada kecemerlangan kita hari ini.
Kejayaan penerbitan ini memberikan satu pengertian yang besar kerana menerusi Semarak Jaya, pelbagai peristiwa suka
duka dan pahit manis yang mewarnai pengalaman kita terakam kemas di dalamnya. Hal ini pastinya menjulang semangat juang
dan dedikasi warga SMK Permatang Tok Jaya dalam melahirkan generasi yang cemerlang dalam bidang akademik mahupun
sahsiah. Pemuafakatan antara ibu bapa dan guru yang terjalin erat sekian lama merupakan tunjang penting dalam melakar kejayaan anak-anak. Semangat kerjasama yang umpama aur dengan tebing ini menyediakan landasan kukuh dalam membentuk
pelajar yang cemerlang sama ada dalam bidang kurikulum dan kokurikulum Justeru, saya menyeru kepada semua anak-anak
SMKPTJ agar tidak memandang ringan segala usaha gigih para guru. Sentiasalah berusaha meningkatkan pencapaian diri kerana tiada yang lebih bernilai di mata seorang guru selain dari melihat kejayaan anak didiknya.
Akhirul kalam, saya mendoakan seluruh warga SMK Permatang Tok Jaya akan terus cemerlang dalam melahirkan pelajar
yang terdidik sahsiahnya serta memiliki minda kelas pertama. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha murni kita ini.
MOHD. RADZI B JAMALUDIN
YDP PIBG 2015/2016