PERTAMA KALI
|Monolog Kembara
Pertama kali menjalani intersesi sememangnya sesuatu yang mencabar. Lebih-lebih di bulan
Ramadhan. Lagi mencabar keimanan diri. Habis sahaja peperiksaan akhir aku bergegas
meninggalkan dewan tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal pada sahabat yang masih
setia beramah mesra sebelum pulang cuti semester. Kali ini, tiada cuti semester untuk aku. Aku
akan menjalani intersesi di UiTM Shah Alam dan yang paling penting kelas bermula pada esok
hari.
Aku dan seorang sahabat menaiki bas Sani dari Dungun ke Shah Alam pada jam 8.00 malam
dan tiba di Shah Alam pada jam 4.00 pagi. Shah Alam seolah-olah bumi asing pada aku. Tiada
saudara yang dapat aku harapkan. Mujur sahaja sahabatku punya saudara terdekat yang boleh
memberi bantuan kecil kepada kami. Bermula dengan sewaan teksi seawal jam 4.30 pagi dan
sahur dan melepak di KFC sehingga jam 7.30 pagi. Entah ke mana fikiran aku ketika itu, lalai
mengejar dunia sehingga terleka untuk menunaikan solat Subuh.
Sesi pendaftaran masuk ke kolej kediaman bermula. Ujian terus berlangsung. Aku dan
sahabatku tidak dibenarkan masuk ke kolej kediaman kerana yuran untuk masuk kolej kedia-
man masih belum diuruskan. Sungguh otak aku beku ketika itu. Kami tidak diberitahu oleh
pihak HEA kampus kami tentang urusan bayaran kolej. Dengan tubuh yang letih dan belum
mandi aku dan sahabatku bergegas ke bangunan utama kampus. Dalam keadaan cuaca panas
terik dan dahaga kami mendaki tangga yang tinggi untuk ke bangunan utama dan mengurus-
kan bayaran kolej.
Masuk depan keluar belakang. Begitulah kami berpusing-pusing di bangunan yang sama.
Kami sudah keletihan. Jam ketika itu sudah masuk jam 12.30 tengah hari. Sudah seharian,
namun masalah masih belum selesai. Akhirnya kami bertemu dengan seorang saudari yang
baik hati. Dia merupakan seorang staf yang berkhidmat di sana. Sangkaan aku awalnya dia
adalah seorang pelajar kerana melihat wajahnya yang masih muda. Dialah yang memberi
bantuan dan tunjuk arah untuk ke pejabat bendari. Berkat bantuannya urusan kami selesai di
sana dan berjaya masuk ke kolej kediaman.
oleh : Penulis Sepi
04