Menyuburkan Jawi sebagai Fard al-Kifayah Mar. 2015 | Seite 8

Karangan #2 Bahasa Melayu dan Bahasa ‘Arab al-Qur’ān Ketinggian sesuatu bahasa yang mewakili sesuatu pandangan ‘ālam bergantung kepada kandungan ‘ilmu yang terdapat dalam kandungan pustaka persūratannya, dan sejauh mana ia telah dikemas oleh naḥw yang kukuh untuk membentuk sebuah rangkaian perkataan dan ayat yang benar, tepat dan jitu, di samping ditampilkan dalam satu wajaḥ ḥūruf yang piawai yang mewakilkan ma‘nā yang dimaqṣudkan bagi menjadi perantara utama kepada insān yang lain. Dalam ḥal ini, al-Qur’ān, yang ditanzilkan dalam bentuk bahasa wajar direnungi kerana ia adalah sebaik-baik bahasa yang menduduki setinggi-tinggi ukuran. Al-Qur’ān merupakan ruju‘kan yang paling tinggi bagi insān yang beragama Islām, yang mana berperanan memerikan insān akan ḥaqīqat dan ṣifat Tuhan yang disembahnya; ḥaqīqat sekalian makhluqāt dan ‘ālam yang melingkunginya; kedudukan dirinya serta makhluq dengan Tuhannya; dan memberitakan jalan yang benar untuk dilaluinya dan jalan yang bāṭil untuk dijauhinya. 8