Menyuburkan Jawi sebagai Fard al-Kifayah Mar. 2015 | Page 7

Untuk melahirkan insān Jāwī seperti ini, bukan semata 2 hingga 3 tahun masa pengajian diperlukan, bahkan se‘umur hidup bakal diwaqafkan untuk menumbuhkan semula pohon ketamaddunan. Jadi, keṣabaran dan ketelitian itu amat berguna sebagai pesan, kerana kerja ini bukan kerja berseorangan dan ia akan diturunkan sebagai amanah warīthan kepada anak bangsa yang datang kemudian. Anak-anak muda yang bakal melalui jalan ini, akan dihidupkan dalam suasana perjuangan, yang memerlukan kerajinan dan ketekunan; kesetiaan dan keikhlāṣan; kebersamaan dan kebijaksanaan – agar ia bukan semata usaha yang sementara atau bergantung kepada tajaan, kerja, tempat dan gaji pada badan yang disedia oleh pihaqq kerajaan sahaja. Merenung anjuran-anjuran di atas, tentu sudah datang pertanyaan-pertanyaan – kenapa perlu mencari jalan yang susah untuk menyegarkan semula pohon Jāwī yang telah layu ini? Ini disebabkan, ia adalah Farḍ al-Kifāyah – keperluan untuk menyempurnakan yang kurang pada mashārakatnya. Bukan semua perlu melalui jalan penuh liku ini. Hanya yang terpilih dan tertentu – yang memikul tanggungjawab ‘ilmu ini yang bakal dan senantiasa kembali mengingatkan ummatnya terhadap pengalaman dan persaksian ḥaqīqat ma‘nā diri bangsanya. Mereka inilah yang terpilih di kalangan anak bangsa, yang mahu berkhidmat pada ‘ilmu dan ahlinya. 7