Menyuburkan Jawi sebagai Fard al-Kifayah Mar. 2015 | Page 6

maka layaklah perbaḥathan Jāwī dibawa merantau ke saujana ‘ālam falsafah, tempat cita-citanya, selayak kequwwatan qudratnya. Wājib disedari, ma‘nā Jāwī pada peringkat ini bukan semata terḥadd pada lukisan khaṭ ḥurūfnya; bukan sekadar bertelingkah bagaimana bentuk ejaan lama-barunya; dan bukan jua gah dan ḥaybat pada papan tanda kedai dan jalan raya. Malah, bukan sekadar pembenihan pada anak-anak tadika dan sekolah yang belum mengenal cabaran dunyā serta bukan daripada mereka yang bersongkok menunjukkan pandai dengan menambah ḥurūf alif-waw-yā’ pada semua pematah kata. Jāwī dikaji supaya yang membacanya faṣīḥ agar selāmat tiba pada ma‘nā yang mencerminkan ḥaqīqat maqṣūdnya. Makhṭūṭāt Ḥamzah Fanṣūrī dan Nūr al-Dīn al-Rānīrī faṣīḥ dibaca, bukan semata pada kelancaran dan kelajuan menuturkannya – tetapi diketahui mana letak duduk mutunya, mana punca mata air ‘ilmunya dan di mana hendak dicari ruju‘kan yang membenarkannya agar sang pengkaji mampu menyelami kedalaman lautan ke‘ilmuan mereka. Di samping itu, para penuntut Jāwī perlulah dipersedia dengan ‘ilmu-‘ilmu alat, seperti ‘ilmu bahasa, ‘ilmu naḥw, ‘ilmu balaghah, ‘ilmu ma‘nā dan ‘ilmu manṭiq. Jaringan bahasa Islām yang kukuh bukan sahaja pada bahasa Melayu-Jāwī itu sendiri, tetapi pada bahasa ‘Arab dan Parsi dan juga bahasa-bahasa ‘ilmu yang lain, seperti bahasa Inggeris, B