Koleksi Buku Karangan AUG 2014 | Page 48

PERTANDINGAN NYANYIAN Oleh Mutiara Odessa Binte Roslan Sekolah Rendah Shuqun _____________________________________________________________________ Aku baru sahaja selesai menghadiri kelas agama. Aku berasa sangat letih lalu melabuhkan punggungku di sofa. Aku berbaring sambil menonton rancangan televisyen kegemaranku. “Isy! Iklan lagi!” aku merungut kerana rancangan kegemaranku diselitkan dengan iklan. Tiba-tiba tersiar satu iklan pertandingan nyanyian untuk kanak-kanak. Iklan itu menarik perhatianku. Ada suatu suara seperti berbisik untuk aku menyertai pertandingan itu. “Hmm…menarik juga, ya!” aku berbisik di dalam hati. Namun, tarikh uji bakat jatuh pada tarikh hari lahir kawanku. Rita, kawan baikku, pasti akan kecewa jika aku tidak hadir pada majlis hari lahirnya nanti. Tetapi hadiah yang ditawarkan untuk pertandingan itu sangat lumayan dan menarik. Hadiah pertama merupakan sebuah I-pad Mini yang memang sudah lama menjadi idamanku. Aku tidak mahu melepaskan peluang keemasan seperti ini. Aku memang gemar menyanyi.Tidak salah dan tidak rugi kalau aku mencuba. Kata orang, belum cuba belum tahu. Tuah ayam boleh dilihat, tuah manusia siapa tahu? Aku tersenyum sendirian. Pada keesokan harinya, aku bertemu dengan Rita di sekolah. Aku memberitahu dia rancanganku dan meminta maaf supaya dia tidak berkecil hati jika aku tidak dapat menghadiri majlis hari lahirnya. Ternyata, Rita menyokong niatku untuk mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Seisi keluargaku bersetuju aku menyertai pertandingan itu. Lebih-lebih lagi kakakku. Dialah yang bersungguh-sungguh membantu aku membuat persiapan untuk uji bakat itu. Bukan itu sahaja, dia juga yang membantu menyiapkan pakaian yang harus aku pakai pada hari uji bakat pada pusingan pertama Aku tidak sabar untuk menjalani uji bakat pusingan pertama. Aku menghitung hari, menanti ketibaan hari uji bakat itu. Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Uji bakat itu diadakan di Marina Bay Sands. Semua ahli keluargaku menghantarku ke tempat uji bakat itu. Aku sampai di tempat uji bakat itu dengan penuh rasa gementar. Peluh sejuk mengalir di dahiku. Ayah cuba menenangkan aku. Kakak dan abang-abangku pula bersiul kecil sambil bergurau-gurau untuk menghilangkan rasa gemuruhku. “Jangan bimbang, kakak pasti adik boleh. Pasti para pengadil terpegun dengan kemerduan suara adik! Bertenanglah, sayang,” kata kakak dengan senyuman manis berlabuh di bibirnya. Nombor giliranku dipanggil. Aku memasuki bilik uji bakat. Perasaan gementarku hilang tiba-tiba apabila aku membayangkan I-pad Mini idamanku. Keyakinan bertakhta dalam diriku. Aku menyanyi sebuah lagu yang amat aku gemari bertajuk ‘Cinta Muka Buku’. Pengadil-pengadil yang mengadili uji bakat itu ternyata kagum dengan suaraku. Dari ekor mataku, aku nampak mereka menggerak-gerakkan tubuh dan bermain dengan pena mengikut alunan suaraku. Sebaik sahaja aku mengalunkan rangkap terakhir, tepukan gemuruh daripada pihak pengadil kedengaran. 48