“Ayah!” Plastik berisi sayur segera dicampak. Irfan berlari pantas seperti lipas kudung
untuk mendapatkan ayahnya.
Pak Kassim terbaring lemah. Nafasnya turun naik.
“Kenapa, ayah? Irfan memegang tubuh Pak Kassim.
“Ular... ular...” terketar-ketar Pak Kassim menyebut. Kakinya terasa amat sakit akibat
dipatuk seekor ular tedung.
Irfan memandang kaki ayahnya. Ada dua lubang kecil berwarna merah di kaki ayanya,
kesan patukan ular. Dada Irfan berdegup kencang. “Ya, Allah, ayah! Macam mana ni?”
Irfan panik. Bibirnya pucat, tangannya sejuk dan menggeletar. Pak Kassim cuba
mengawal pernafasannya. Bisa ular tedung amat berbahaya. Bisa itu perlu dikeluarkan segera.
Namun keadaan mereka yang berada jauh di tengah hutan, jauh dari kampung dan orang ramai,
membuatkan harapannya untuk terselamat amat tipis.
“Rasanya, ayah setakat ini sahajalah Irfan...” ucap Pak Kassim dengan suara yang
tertahan-tahan sambil memandang anaknya.
Irfan menjadi tidak tentu arah. Matanya bergenang sebaik sahaja mendengar kata-kata
ayahnya itu. “Ayah, jangan cakap macam itu, ayah! Biar Irfan panggilkan Haji Makruf. Dia
pandai mengubat.”
Irfan bingkas bangun. Namun belum sempat dia melangkah, tangannya ditarik. Irfan
menoleh. Ayahnya menggeleng. “Tidak perlu. Tidak sempat.”
Pak Kassim mula berpeluh-peluh. Kesakitan sudah mula menjalar ke seluruh tubuhnya.
Irfan bertambah resah.
“Biar anak ayah di sisi ayah saat ini. Nanti tak jumpa lagi,” Pak Kassim cuba
tersenyum. Namun senyumannya menjadi tawar. Wajahnya sudah mulai pucat. Pandangannya
terasa berpinar-pinar.
“Ayah...” Air mata Irfan semakin bercucuran. Tangannya mengcengkam baju ayahnya.
Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Kalau dia berlari pantas ke kampung pun,
sempatkah dia menyelamatkan ayahnya? Bagaimana jika ayahnya menghembuskan nafas
terakhir ketika itu? Irfan tidak dapat membayangkannya. Dia pasti tidak dapat memaafkan
dirinya jika perkara itu terjadi.
Irfan menundukkan kepalanya hingga menyentuh tubuh Pak Kassim. Bahunya
terhinggut-hinggut menahan sebak. Dengan susah payah Pak Kassim menggerakkan tangannya
yang semakin tidak berdaya, mengusap kepala Irfan. Kemudian dipeluk anak tunggalnya itu
erat-erat bagaikan tidak mahu dilepaskannya. Sambil tangannya terus memegang kepala Irfan,
Pak Kassim terus berbisik.
“Ayah sudah tak lama lagi, Irfan.”
Irfan semakin sebak. Dia tidak menyangka semua ini akan terjadi. Hidupnya sudah
sedia susah, kini dia akan kehilangan satu-satunya tempat bergantung harapan. Terbayang di
ruang matanya kini kehidupannya selepas kehilangan ibu