Koleksi Buku Karangan AUG 2014 | Page 45

“Yang Irfan perlu lakukan adalah.....” “Belajar bersungguh-sungguh kerana Allah!” Mereka berdua tertawa. “Mari kita pulang. Matahari pun sudah semakin terik.” Pak Kassim bangun. “Kamu pergi memetik sayur untuk lauk kita hari ini.” “Baik, ayah.” Irfan terus bergerak ke arah kebun. Irfan dan Pak Kassim memang rapat. Walaupun mereka merupakan pasangan anak dan ayah, mereka kadangkala kelihatan seperti adik-beradik. Mereka berdua sering kelihatan bersama-sama kecuali apabila Irfan ke sekolah. Apabila Pak Kassim ke pasar untuk menjual sayur pada hujung minggu, Irfan akan membantunya. Apabila Pak Kassim ke masjid untuk menjadi imam, maka Irfan akan mengikutinya dengan menjadi bilal. Begitu jugalah di tempattempat lain. Ibu Irfan meninggal dunia ketika melahirkannya. Irfan dan Pak Kassum tinggal berdua sahaja. Mereka tinggal di sebuah rumah yang agak sederhana di hujung kampung. Walaupun mereka miskin, Irfan sebagai anak tidak pernah merungut. Dia faham akan keadaan keluarganya. Ayahnya pula seorang yang kuat bekerja. Ayahnya itu berusaha menyara kehidupan mereka dengan menanam sayur-sayuran di samping menjadi imam. Walaupun pendapatan ayahnya tidak banyak, itu sudah cukup untuk mereka meneruskan kehidupan. Irfan berazam untuk mendapat 5 A dalam peperiksaan UPSR yang bakal dihadapinya nanti. Dia mahu membalas jasa ayahnya selama ini dengan menghadiahkan keputusan yang paling cemerlang. Kemudian, dia mahu masuk ke asrama penuh di bawah tanggungan kerajaan serta melayakkan diri untuk menerima bantuan biasiswa. Dengan itu ayahnya tidak perlu bersusah payah menanggung pembelajarannya. Pernah Irfan memberitahu hasratnya itu kepada ayahnya. Pak Kassim hanya menjawab, “Tiada apa yang lebih menggembirakan ayah, melainkan kamu hidup dalam ketaatan kepada Allah.” “Belajar bersungguh-sungguh dan cemerlang dalam pelajaran, itu pun ketaatan kepada Allah juga, bukan?” “Ya, kalau kamu manfaatkan pelajaran kamu itu untuk agama, dan kamu tidak bongkak kepada orang lain.” Begitulah ayahnya. Dalam apa-apa hal pun, ayahnya tetap akan membawanya kembali kepadanya tujuan asal kehidupan manusia, iaitu beribadah kepada Allah. Kata ayahnya, manusia itu datang daripada Allah, dan akan kembali kepada Allah, jadi hidup ini mesti untuk Allah. Beribadah itu pula bukan hanya duduk di masjid sahaja, tetapi menjalani kehidupan ini dengan melalukan apa yang disuruh Allah, dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Kata ayahnya lagi, hidup manusia ini adalah untuk menjadi hamba Allah SWT, dan berusaha mendapatkan keredaan-Nya dalam apa sahaja perkara dilakukan. Irfan tersenyum. Insya-Allah dia berazam untuk berjaya dunia dan akhirat, serta hidup menjadi hamba yang diredai-Nya. “Ya, Allah!” kedengaran satu jeritan bernada cemas. Irfan terkejut. Dia pantas menoleh ke arah pokok tempat mereka berehat tadi. Dia nampak ayahnya rebah ke tanah. 45