1st Edition 2020 | Page 24

Saban tahun Malaysia menerima kunjungan pelancong asing dari China dan sebanyak tiga juta pelancong dari negara itu sahaja pada tahun lepas. Namun, Bank Pembangunan Asia telah menjangkakan industri pelancongan akan kerugian sebanyak RM5.7 bilion pada tahun ini. Krisis ekonomi ini juga telah memperlihatkan kejatuhan pasaran kewangan. Perkara ini secara realitinya telah membelenggu orang ramai yang terjejas teruk dalam keadaan sekarang ini. Ada perniagaan yang terpaksa menggulung tikar kerana tiada punca pendapatan untuk menampung segala kos. Ramai yang telah kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Selain itu, ada juga yang diminta untuk mengambil uti tanpa gaji kerana majikan tidak mampu membayar mereka. Lebih membimbangkan apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan COVID-19 akan mencetuskan kemelesetan ekonomi global yang lebih buruk daripada krisis kewangan pada 2008. COVID-19 ini lebih merumitkan keadaan apabila melibatkan krisis kesihatan dan krisis ekonomi pada masa yang sama. Harga minyak dunia juga telah jatuh ke paras yang tidak pernah dilihat selama hampir dua dekad. Hal ini disebabkan oleh COVID-19 yang merudumkan permintaan minyak apabila perniagaan ditutup, penjalanan jarak jauh disekat dan langkah- langkah lain yang dilaksanakan untuk mengawal wabak ini. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan segelintir peniaga membuka kembali perniagaan mereka. Langkah ini diambil oleh kerajaan untuk memastikan ekonomi negara ini dapat diselamatkan sebelum nasi menjadi bubur. Namun begitu, pelbagai Prosedur Operasi Standard perlu dipatuhi untuk mengawal virus ini. Mungkin ramai yang ambil remeh mengenai perkara ini, lebih-lebih lagi apabila kes COVID-19 di Malaysia semakin pulih. Walau bagaimanapun, kita perlu sentiasa ingat bahawa virus pembunuh ini masih tidak ada penawarnya, jadi lebih baik kita mengawal daripada mengubatinya. Antara Prosedur Operasi Standard yang perlu rakyat Malaysia patuhi mungkin agak kelihatan drastik dan membebankan kerana luar dari kebiasaan. Tetapi, inilah yang dipanggil ‘norma baharu’ yang harus kita amalkan dan patuhi. Pemakaian topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial sejurus sahaja anda melangkah kaki keluar dari rumah perlu dipraktikkan untuk menangani virus COVID-19 yang telah mengjakiti hampir lima juta penduduk dunia. COVID-19 ini mungkin akan meninggalkan kesan yang agak lama dan memerlukan banyak masa dan usaha untuk pulih sepenuhnya. Kita tidak boleh membiarkan diri kita terus menderita dalam keadaan pandemik ini. Kita perlu melakukan sesuatu dan memaksa diri kita untuk berubah dalam segala aspek supaya sejajar dengan kemelut yang akan berlaku. Krisis ini harus kita harungi bersama. Ini adalah “norma baharu” yang kita harus lalui. SASARAN EDISI 82 24