Warta KKAP Julai 2013 Jul. 2013 | Page 37

Edisi JULAI - DISEMBER 2013 PROGRAM PIAI-PONTIAN ECO CHALLENGE 2PEC: JOURNEY SOUTHERN MOST TIP OF ASIA 2013 Minda dan Fizikal Terus Diuji Oleh: Rahiza Shima binti Ramli Pada 25 hingga 28 Ogos 2013 telah berlangsungnya Program Piai-Pontian Eco Challenge (2PEC: Journey Southern Most Tip of Asia) 2013. Program anjuran Bahagian Kebajian Pelajar, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti ini telah dikelolakan oleh Kolej Komuniti Tanjung Piai, Johor. Seramai empat orang pelajar daripada Kolej Komuniti Arau telah terpilih untuk menyahut cabaran bagi menyertai program ini di mana penyertaan peserta keseluruhannya adalah daripada 25 buah Kolej Komuniti yang mewakili setiap negeri di Malaysia. Program bermula dengan sesi pendaftaran peserta di Kompleks Usahawan Hening Cipta, Pontian, Johor. Para peserta telah diberikan taklimat berkenaan program dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap peserta sepanjang aktiviti dilaksanakan. Antara aktiviti yang disertai oleh peserta adalah larian, berbasikal, cabaran minda, cabaran memasak, khidmat komuniti dan fotografi, cabaran lasak serta ECO-eksplorasi. Pada hari kedua, aktiviti bermula dengan larian dari Kompleks Usahawan Hening Cipta, Pontian, Johor dan berakhir di Tanjung Piai Resort, Johor iaitu sejauh 10 km. Begitu juga dengan aktiviti berbasikal dan cabaran minda. Para peserta perlu mencari dan membawa barang seperti yang disenaraikan oleh pihak urusetia sepanjang melalui laluan yang telah ditetapkan. Barang yang berjaya dijumpai akan dikumpul dan diberikan kepada urusetia apabila tiba ke garisan penamat sebagai bukti untuk penilaian. Bagi cabaran memasak, peserta telah dibekalkan dengan ikan keli hidup. Cabarannya di sini adalah setiap kumpulan perlu menyiang dan memasak ikan keli tersebut menggunakan bahan-bahan yang telah disediakan oleh urusetia. Penilaian dilaksanakan berdasarkan masa penyediaan serta kreativiti peserta memasak ikan keli tersebut. Aktiviti pada hari ketiga diteruskan dengan khidmat komuniti dengan tema ‘Sayangi Paya Bakau’. Para peserta telah ditugaskan untuk membersihkan kawasan sekitar paya bakau sebagai tanda menghargai kebersihan alam sekitar. Cabaran seterusnya adalah fotografi yang bertemakan flora dan fauna. Para peserta diberi masa untuk merakamkan gambar paling kreatif bagi menyampaikan maksud keindahan flora dan fauna. Penilaian adalah dari segi kreativiti dan keunikan gambar yang telah dirakamkan. Cabaran rempuh halangan merupakan cabaran lasak bagi para peserta kerana aktiviti ini banyak menguji ketahanan para peserta dalam menghadapi pelbagai halangan seperti memanjat tembok dan berjalan di dalam lumpur. Pada hari yang ketiga, cabaran ECO-eksplorasi merupakan aktiviti terakhir yang perlu dilalui oleh para peserta. Cabaran ECO-eksplorasi merangkumi cabaran kraftangan kertas, cabaran memanjat pokok kelapa, cabaran mengupas, membelah dan mengeluarkan isi kelapa cara tradisional serta cabaran seikat penyapu. Aktiviti ini memberi cabaran kepada para peserta terutama yang membesar di kawasan bandar dan tidak biasa didedahkan dengan aktiviti yang bersifat tradisional. Rasionalnya, aktiviti ini telah memberi kesedaran kepada para peserta bahawa untuk berjaya perlu disulami dengan usaha yang gigih. Di samping itu, para peserta diterapkan dengan amalan hargai dan sayangi alam sekitar melalui slot Program Pendidikan Kesedaran Alam Sekitar yang dikelolakan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor. Kesungguhan dan komitmen para peserta menyertai setiap aktiviti sehingga ke garisan akhir telah memberi kenangan yang terindah buat mereka kerana ia merupakan pengalaman yang bermakna dalam membina jati diri masing-masing untuk menempuhi kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran. Simbolik bagi setiap aktiviti yang telah disertai dalam program ini adalah untuk melatih dan memberi cabaran kepada setiap peserta bahawa setiap masalah ada penyelesaiannya. Kesimpulannya, Program Piai-Pontian Eco Challenge (2PEC: Journey Southern Most Tip of Asia) 2013 ini telah memberi impak yang positif kepada peserta khususnya pelajar Kolej Komuniti Arau dalam merealisasikan impian mereka untuk menjadi insan yang lebih berjiwa besar dan ѥ