4.6 PENGAUDITAN 4.6.1 PENGENALAN
Dalam sesebuah ekonomi , terutamanya ekonomi hari ini , pelaburan dalam bidang perindustrian apa pun memainkan peranan yang amat penting . Untuk sebuah organisasi perniagaan yang besar , modal perniagaannya diterima daripada para pelabur yang datang daripada berbagai-bagai golongan dan lapisan masyarakat di peringkat kebangsaan atau antarabangsa . Organisasi seperti ini juga mempunyai cawangan perniagaannya di tempat lain yang berjauhan . Dalam situasi seperti ini penyata dan laporan kewangan merupakan satu aliran komunikasi yang paling berkesan antara kedua-dua belah pihak , iaitu pelabur dan entiti . Para pelabur tidak akan dapat melihat sendiri bagaimana modal yang mereka amanahkan ke dalam organisasi ini diperniagakan . Jadi mereka akan bergantung sepenuhnya pada penyata kewangan tahunan yang akan memberikan maklumat sama ada modal pelaburan mereka digunakan dengan betul , cekap dan menguntungkan atau sebaliknya . Begitu juga dengan pihak pengurusan yang sentiasa bergantung pada laporan kewangan dan bentuk komunikasi lain yang memberikan maklumat ekonomi untuk tujuan mengurus dan mengawal modal yang dilaburkan di dalam organisasi mereka .
40