Suluh Ilmu Sinar Bahasa (Bil.3 Sept.2014) | Page 8

Sinar Ilmu Suluh Bahasa . Bilangan 3 Sept. 2014 Panggilan Melambangkan Penghormatan Oleh : Bukhari Shafie Profesor Emeritus Abdullah Hassan dalam blog “Santun Bahasa” menegaskan: Apabila kita hormat, kita meningkatkan taraf orang yang dilawan bercakap dengan menggunakan bentuk panggilan yang meninggikan tarafnya. Inilah yang dikatakan berbudi bahasa. Hujung minggu lalu, saya sempat berkunjung ke sebuah hospital di Kuala Lumpur untuk menziarahi rakan saya yang mengalami masalah saraf. Dalam kesibukan mengejar waktu melawat yang kian ke penghujung, saya sempat melihat dua situasi seperti berikut: i. Situasi di tempat meletak kenderaan pelawat Sambil menunggu di dalam kereta, saya sempat memerhatikan gelagat seorang wanita yang agak berumur mendekati pelawat-pelawat yang meletakkan kenderaan. Sambil memegang beberapa naskah surah Yasin dan menggalas beg kecil, dia menghampiri setiap pelawat dan menyapa serta mempelawa pelawat untuk membeli surah Yasin yang dibawanya. Dia sentiasa bermanis muka sambil membantu memberikan isyarat kepada pelawat untuk meletakkan kenderaan di petak yang disediakan. “Assalamualaikum tuan, mak cik menjual surah Yasin, mahukah tuan membelinya?” “Assalamualaikum encik, mak cik menjual surah Yasin, mahukah tuan membelinya?” Demikian antara yang saya dengar kata sapaannya setiap kali mendekati pelawat yang meletakkan kenderaan di situ. Ada yang dipanggil ‘tuan’, ada yang dipanggil ‘encik’. Yang saya perasan, panggilan itu berdasarkan penampilan diri pelawat dan juga jenis kenderaan pelawat. Pandai dia menyesuaikan sapaan untuk menarik perhatian orang yang disapa. ii. Situasi di dalam wad Sewaktu sedang menziarahi biras saya, beberapa orang jururawat sibuk menyediakan fail-fail pesakit dan pembantu hospital pula sedang mengedarkan pas untuk menunggu pesakit. “Mak cik, ini surat kebenaran pelawat. Jika jaga (pengawal keselamatan) masuk nanti (bukan waktu melawat), mak cik tunjuk saja surat ini.” “Ya, terima kasih.” “Akak, sudah dapat surat ini ke belum?” “Belum.” “Nanti saya sediakan, akak tunggulah sekejap. Surat ni penting.” iii. Analisis Kedua-dua situasi menampakkan sikap profesionalisme dua watak. Kedua-duanya berurusan dengan orang ramai. Bahasa sapaan penjual surah Yasin lebih menarik perhatian orang yang didekatinya. Bahasa sapaan pembantu hospital pula nampaknya seolah-olah untuk menampakkan layanan mesra terhadap pelanggan, namun tidak kena pada tempatnya apabila menggunakan sapaan yang tidak sesuai pada tempatnya. Apatah lagi beliau seorang penjawat awam yang sentiasa berurusan dengan pelanggan. Jadi, sapaannya kepada pelanggan haruslah sesuai dan melambangkan profesionalismenya sebagai penjawat awam. Beliau sewajarnya menggunakan sapaan, cik, encik, puan atau tuan. Kita haruslah sedar bahawa kesilapan sapaan boleh menyinggung orang yang kita tegur atau lawan bicara.