Suluh Ilmu Sinar Bahasa (Bil.3 Sept.2014) | Page 2

Sinar Ilmu Suluh Bahasa . Bilangan 3 Sept. 2014 Membina Kecekapan Berbahasa Melalui Teknik Bercerita Oleh : Alias Sidek Umumnya semasa anak-anak masih kecil, ibu bapa akan duduk bersama anak dan membaca buku cerita kepada mereka. Keriangan jelas terbayang pada wajah anak yang mendengar cerita, tidak kira daripada siapa. Namun, masa yang dihabiskan bersama anak untuk bercerita akan semakin kurang setiap hari kerana anak semakin membesar, sehinggalah anak dibiarkan untuk membaca sendiri. Biasanya itulah hal yang terjadi dalam mana-mana keluarga pun. Namun, dengan perkembangan ilmu, sudah banyak ibu bapa yang terus-menerus memberikan masa dan perhatian terhadap pembacaan anak kerana diyakini bahawa peranan merekalah sebenarnya yang akan mempengaruhi sikap anak terhadap pembacaan apabila mereka besar. Menyedari pentingnya peranan mereka, banyak ibu bapa yang mula memberikan lebih perhatian dan belajar cara bercerita dengan lebih sistematik bagi membantu anak-anak memupuk sikap positif terhadap membaca. Hal ini demikian kerana disedari bahawa sikap positif terhadap membaca dalam kalangan kanak-kanak peringkat prasekolah adalah sangat penting dalam menentukan aktiviti pembacaan mereka seterusnya. Pada peringkat sekolah, para pendidik menggalas tanggungjawab bagi memastikan tabiat suka membaca ini terus disuburkan. Amalan membaca ini jika dapat dikekalkan bukan sahaja memberi impak yang besar kepada perkembangan minda mereka malah membantu kanak-kanak untuk menguasai bahasa Melayu dengan lebih cepat lagi. Seyogia diingat bahawa, menguasai dan menggunakan bahasa dengan betul dan sempurna bukan hanya terletak di pundak guru bahasa Melayu sahaja malah menjadi tanggungjawab semua pendidik tanpa mengira bangsa atau aliran keilmuan. Para pendidik seharusnya menjadi model utama yang boleh diteladani oleh semua kanak-kanak dalam hal pemahaman, penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu. Keterampilan para pendidik dalam berbahasa menjadi aset penting ke arah melahirkan murid yang celik dan cekap berbahasa. Dalam sistem pembelajaran bahasa Melayu peringkat rendah, banyak kaedah atau cara yang boleh digunakan oleh para pendidik untuk mengajarkan bahasa kepada murid. Salah satu cara yang dianggap berkesan oleh para pengkaji ialah melalui kaedah bercerita. Bercerita dikenal pasti sebagai suatu cara yang paling berkesan untuk menyampaikan idea. Bercerita bukanlah merupakan satu penemuan baharu, tetapi sesuatu yang sudah sebati dengan dunia masyarakat kita dan keberkesanannya dalam menghasilkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran tidak dinafikan. Penggunaannya bukan sahaja untuk mata pelajaran bahasa dan sastera malah sesuai untuk mata pelajaran lain juga. Dalam konteks dunia pendidikan masa kini, teknik bercerita masih sesuai digunakan. Memang tidak dinafikan penemuan teknik terkini membantu menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang efektif namun, bercerita masih sesuai digunakan pada bila-bila masa sahaja. Aktiviti bercerita dapat dilaksanakan di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Malah bercerita mampu dilaksanakan dengan atau tanpa bahan bantu mengajar. Teknik ini membolehkan penglibatan aktif murid-murid semasa atau selepas sesi bercerita. Bercerita melibatkan kreativiti guru menggunakan cerita sebagai media menyampaikan isi pengajaran kepada murid. Bercerita melibatkan perhubungan dua hala antara guru dengan murid, dan antara murid dengan murid. Teknik ini juga boleh dimanipulasikan mengikut kesesuaian dan kemampuan guru. Murid boleh mengalami sendiri situasi cerita melalui penggunaan bahan bantu mengajar yang disesuaikan guru semasa teknik bercerita digunakan di bilik darjah. Selain itu, penggunaan gambar atau bercerita dikatakan dapat melatih murid berfikir (Shahabuddin & Rohizani, 2003). Manfaat bercerita Pendekatan bercerita mempunyai beberapa manfaat kepada murid- yang boleh dirumuskan, antaranya: i. ii. iii. iv. v. vi. dapat meningkatkan perbendaharaan kata murid meningkatkan kemahiran mendengar mereka mengembangkan minat membaca dapat belajar dalam suasana yang menyeronokkan dan santai mudah memahami dan menerima pelajaran yang disampaikan dapat mengembangkan daya cipta murid sama ada secara lisan atau bertulis