pembelajaran
DAN PEMUDAHCARAAN
BERKUALITI
Pembelajaran Abad Ke-21 berfokus kepada usaha untuk melahirkan murid yang menguasai
pelbagai kemahiran agar mampu bersaing pada peringkat global. Di samping itu, mereka juga
diharapkan dapat membangun secara seimbang dan holistik berdasarkan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-
2025. Dalam merealisasikan hasrat tersebut, pembelajaran dan pemudahcaraan berkualiti
yang berpusatkan murid merupakan antara elemen yang penting. Terdapat enam aspek utama
pembelajaran dan pemudahcaraan yang perlu diberi perhatian yang khusus bagi menjamin
Pembelajaran Abad ke-21 yang berkualiti. Aspek-aspek tersebut ialah:
1. Perancangan
2. Pembelajaran berasaskan aktiviti
3. Pentaksiran untuk pembelajaran
4. Penyoalan
5. Bahan sumber pembelajaran dan pemudahcaraan
6. Refleksi
Perancangan pembelajaran dan pemudahcaraan
(PdPc) yang bersistematik adalah penting untuk
memastikan proses PdPc dapat dilaksanakan secara
sistematik dan murid berupaya mencapai objektif pembelajaran. Perancangan pembelajaran murid
juga perlu mengambil kira tahap perkembangan murid dan kepelbagaian gaya pembelajaran
murid. Dalam meningkatkan keberkesanan pembelajaran, murid seharusnya diberi peluang
untuk melaksanakan pelbagai aktiviti pembelajaran secara aktif yang berpusatkan murid. Aktiviti
pembelajaran juga harus mengambil kira kepelbagaian murid supaya potensi setiap murid
dapat dibangunkan secara optimum. Sehubungan dengan perkara itu, aktiviti pembelajaran juga
harus dapat memupuk murid ke arah membangunkan Kemahiran Abad Ke-21 iaitu kemahiran
berkomunikasi, berkolaboratif, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta mengintegrasikan
kemahiran berfikir aras tinggi. Dalam usaha menjamin keberkesanan pembelajaran, pentaksiran
terhadap pembelajaran harus berlaku secara berterusan sepanjang proses PdPc bagi mengukur
tahap pembelajaran murid dan menilai sama ada objektif pembelajaran tercapai atau tidak.
Selain itu, penyoalan berkualiti dapat memperluas dimensi pembelajaran, penerapan elemen
KBAT dan boleh digunakan oleh guru untuk menentukan kemajuan pembelajaran murid.
Penggunaan bahan sumber PdPc yang berkesan memperkukuh pembelajaran dan membantu
pencapaian objektif pembelajaran. Di samping itu, Teknologi Maklumat dan Komunikasi juga
harus diintegrasikan dalam proses PdPc.
Seterusnya guru perlu sentiasa melakukan refleksi atas hasil pembelajaran dan proses PdPc
untuk membolehkan penambahbaikan dilakukan secara berterusan. Refleksi juga membolehkan
murid membuat justifikasi perkembangan pembelajaran secara kendiri. Proses PdPc yang
berkualiti dalam Pembelajaran Abad Ke-21 berupaya dicapai melalui keenam-enam aspek
tersebut.
42