Empat tunjang utama dalam pembentukan sesebuah sekolah adalah seperti yang tertera dalam kerangka :
1 . Kepimpinan berprestasi tinggi 2 . Pembelajaran berkualiti 3 . Ekosistem pembelajaran kondusif 4 . Pelibatan Ibu Bapa Komuniti ( PIBK ) strategik
Keempat-empat tunjang ini saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain . Kawalan mutu pelaksanaan Pembelajaran Abad ke-21 di sekolah-sekolah adalah berasaskan standard yang harus dicapai bagi keempat-empat tunjang ini . Domain kepimpinan berprestasi tinggi di dalam kerangka ini dilihat melingkupi tiga tunjang yang lain menunjukkan kepimpinan sekolah diiktiraf sebagai tunjang yang sangat signifikan kerana mereka mempengaruhi secara langsung ketiga-tiga tunjang yang lain .
“ Saya belum pernah melihat sekolah yang maju ditadbir oleh pengetua yang lemah , atau sekolah yang mundur ditadbir oleh pengetua yang cekap . Saya pernah melihat sekolah-sekolah yang mundur berjaya dimajukan , dan yang menyedihkan , ada sekolah-sekolah yang maju merosot dengan mendadak . Dalam setiap kes , jatuh bangun sesebuah sekolah adalah kerana kualiti pengetuanya .” Fred Hechinger , Presiden New York Times .
Tunjuk arah panah bersifat lawan jam dalam kerangka pembelajaran abad ke 21 sekolah-sekolah negeri Johor menjelaskan bahawa putaran ke kanan menghasilkan medan tenaga atau aura positif untuk menunjukkan pentingnya hubungan dan gabung jalin antara ke empat-empat tunjang secara optimum . Setiap tunjang tidak akan dapat melaksanakan fungsi masing-masing dengan baik tanpa tunjang-tunjang yang lain . Ini adalah kerana setiap tunjang itu memiliki kekuatan tersendiri yang saling mempengaruhi . Sebagai contoh , pembelajaran berkualiti hanya terlaksana dengan baik apabila murid dapat meneruskan pembelajaran dengan sokongan dari kepimpinan berprestasi tinggi , ekosistem pembelajaran kondusif dan PIBK strategik . Jika salah satu tunjang ini tidak memainkan peranannya , murid tidak akan mendapat peluang dan ruang yang optimum untuk meningkatkan kemahiran mereka . Pemimpin sekolah yang tidak menyediakan keperluan murid kepada ekosistem pembelajaran kondusif dalam dan luar bilik darjah dan kerjasama dengan PIBK dalam usaha melaksanakan intervensi bagi mencapai matlamat yang sama iaitu menyediakan pembelajaran berkualiti akan mengakibatkan keciciran di kalangan murid . Berbanding dengan rakan sebaya mereka yang mendapat sokongan padu dari kesemua tunjang , murid ini akan ketinggalan mendapatkan pembelajaran berkualiti . Natijah dari itu , mereka berkemungkinan akan tercicir dalam usaha untuk melengkapi diri dengan kemahiran abad ke-21 . Kemahiran-kemahiran untuk berdaya tahan dan bersaing di peringkat glokal dan global mungkin tidak dapat dimiliki . Oleh itu , gabung jalin yang tekal dan berterusan di antara ke empat-empat tunjang ini perlu diberi penekanan agar dapat membina modal insan yang memiliki keseimbangan jasmani , emosi , rohani dan intelek . Keseimbangan ini penting dalam persediaan menghadapi apa sahaja cabaran masa hadapan kerana abad ke-21 ini meletakkan murid dalam era dunia tanpa sempadan .
Tunjuk arah panah merentasi bulatan menggambarkan apabila empat tunjang utama dan semua elemen berkaitan digabung jalin , proses pembangunan murid secara holistik , sistematik dan berterusan selaras dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat , akan membentuk kemenjadian murid , iaitu modal insan “ global player ”. Seorang insan “ global player ” yang akan dilahirkan seharusnya diterima oleh semua orang di arena antarabangsa . Pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki menjadikan beliau seorang yang dihormati dan dijadikan pakar rujuk oleh rakan pesaing dalam bidang yang sama . Namun dalam masa yang sama , beliau seharusnya memiliki jati diri iaitu seorang insan yang menyedari asal usulnya , cintakan tanah kelahiran dan bangga akan bahasa ibundanya , dan mendukung adat budaya dan mengamalkan nilai murni serta nilai agama dalam kehidupan . Tanpa ke tiga-tiga elemen penting ini , seorang murid itu belum lagi menjadi modal insan “ global player ” yang holistik .
20