SEMARAK JAYA EDISI 2/2015 1 | Page 10

KATA ALUAN KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA Segala puji-pujian ke hadrat Allah swt di atas limpah rahmat dan izinNya diberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Sekalung tahniah dan syabas saya rakamkan buat warga SMK Permatang Tok Jaya, khususnya Sidang Redaksi Semarak Jaya 2015 atas segala inisiatif, komitmen dan kesungguhan sehingga berjaya menerbitkan edisi sulung majalah sekolah ini. Bahan penerbitan ini merupakan manifestasi bahawa pihak sekolah sentiasa komited, bertanggungjawab dan amanah dalam menguruskan dunia pendidikan yang semakin mencabar. Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, segala usaha murni penerbitan majalah ini amatlah dihargai. Secara langsung, PPPM 2013-2025 mula merentasi tahun kedua. Bagi mencapai hasrat menjayakan transformasi pendidikan Malaysia, semua pihak berkepentingan perlu merealisasikan pelaksanaan yang mantap (strong implementation). Peningkatan kualiti pencapaian ini, memerlukan setiap ketua jabatan mampu melaksanakan pemantauan berfokus, langkah-langkah pengawalan dan memahami apakah pencapaian sebenar yang disasarkan. Saya amat yakin transformasi pendidikan ini dapat dijayakan dengan cemerlang melalui komitmen dan dedikasi semua peringkat samada di peringkat KPM, JPN, PPD mahupun pihak sekolah bertindak sebagai agen pelaksana yang paling rapat dengan golongan sasaran. Akhir kata, saya menaruh harapan yang tinggi agar bahan penerbitan ini mampu dimanafaatkan oleh seluruh warga sekolah dan komuniti setempat. Marilah kita bersama-sama satu tekad menjadi warganegara yang turut menjayakan aspirasi Transformasi Pendidikan Negara melalui pelaksanaan PPPM 2013-2025. DATUK DR. KHAIR BIN MOHAMAD YUSOF