Sebelum ini, Bakar menjual tanah pusaka bapanya menyebabkan dia seakan sesal atas tindakannya memberikan tanah itu kepada Bakar. Bakar sudah pun berjanji kepada syarikat pelabur yang bakal membangunkan tanah bapanya, namun bapanya sudah punya agenda tersendiri.
Kemunculan makhluk mistik( saka belaan bapa) yang menyuarakan kebimbangan atas kemungkinan tindakan susulan Bakar disampaikan dengan penuh mendalam. Bapanya juga berpegang pada janji, buat isterinya bahawa dia akan memberikan tanah yang diminta Bakar itu, buat adiknya, Adil. Tamak haloba akan harta dunia buat seorang anak, seorang abang alpa dan leka akan tanggungjawab sebenar-benarnya.
Ironinya manusia, kita dilahirkan sebagai khalifah diatas muka bumi ini sebagai pemimpin dan berbakti kepada tanah, serta beribadah kerana memelihara kedua ibubapa dan keluarga merupakan sebuah amanah( anugerah) yang sangat bernilai.
Air dicincang takkan putus, walaupun Adil tersisih dari keluarga sejak sekian lama, dia disambut baik oleh bapanya yang cuba memulihkan keadaan, serta penduduk yang mempelajari perubatan tradisional dari ibu Adil telah membantunya pulih dari kecederaan.“ Buang hok buruk, ambil hok comel”, antara kata-kata yang telah dituturkan bapa Adil, menyuarakan kesesalannya sepanjang usia mengabaikan tanggungjawabnya.
Metafora yang cuba disampaikan pencipta karya ini, Ilham seorang pemangsa, seorang pembunuh upahan, tugas mengambil nyawa manusia itu amat ringan namun dalam hal ini masih utuh rasa sayang dalam diri dan berperikemanusiaan. Tugasannya untuk memburu Adil— tergendala kerana gejolak yang melanda mental dan emosinya. Adil terhutang budi. Hutang emas dibawa belayar, hutang budi dibawa mati, oleh hal tersebut Adil bersetuju untuk bergocoh demi mempertahankan kelab boxing dan membayar hutang kawannya. Semua ini hanyalah permainan manipulasi Bakar, ibarat gunting dalam lipatan. Perangkap yang dipasang sudah mengena. Kesempitan hidup, kelabu anak mata dek wang ringgit buat sahabat akrab yang pada mulanya sanggup bergadai nyawa mempertahankan kita, jadi lawan terus menikam kita dari belakang.
Dalam masyarakat utopia, manusia yang ideal dan berkembang secara dinamik dan holistik dapat kita temukan. Namun, realitinya dunia yang kita didiami punya banyak kelemahan dan kebejatan sosial kerana manusia – tidak pernah lari dari kesilapan. Dari segi psikologi, perkembangan personaliti dan mentaliti seseorang itu harus dibentuk dari kecil, agar dapat melonjokkan taraf serta melakukan anjakan paradigma membentuk seorang individu berpekerti tinggi, berakhlak mulia dan bermoral.
SASARAN JURNAL KRITIKAN MEDIA. 107