Rumah Buku e-zine vol Sepuluh | Page 5

JIKA AKU PERDANA MENTERI? Ia suara hati. Suara kelelahan seorang marhaen. Bersalut keringat dan darah, di bawah terik mentari. Ku pandang kuku kuning, merah bersalut. Bata merah yang memenuhi kereta sorong, aku pandang berkali-kali. Nun di kejauhan, perancah bergelitak mencuar tinggi. Satu lagi bangunan gah, akan dibangunkan di sini. Di tanah tumpah darahku. Bangunan kemegahan negara, tapi, megahkah aku? Punya cukup makan dan pakai seharian, alhamdulillah aku sudah lebih dari bersyukur. Punya ruang masa untuk istiqamah beribadat kepada Allah, itu sudah lebih dari beruntung. Berapa ramai yang bekerja saban hari, mengaut rezeki muluk, tapi lupa kepada Allah. Negara ini, negara kita. Jika aku Perdana Menteri? Akan ku ubah sistem pentadbiran negara, mengkaji dan melaksanakan sepenuhnya sistem pemerintahan Rasulullah. Walau sudah berlalu 1400 tahun yang lalu, ia masih utuh, masih sah untuk dipraktikkan. Zakat, cukai dan jizyah itu berbeza, tapi siapa yang faham di zaman ini? Imam itu pemimpin, pemimpin itu imam, dan imam itu ikutan, contoh tauladan yang baik untuk akhirat, jua untuk dunia, siapa yang faham di zaman ini? Allah utama, atau duit utama? Akhlak utama, atau duit utama? Ibadat utama, atau pangkat utama? Siapa yang faham di zaman ini? Malah, kerana duit dan kemewahan, banyak rompakan, kes meragut, rasuah, pecah amanah berleluasa, hanya kerana duit. Lalu, di mana jati diri rakyat negara ini? Jika aku Perdana Menteri, Allah yang pertama, negara yang kedua, dan aku akan menjadi yang ketiga. Bila akhirat ku kejar, dunia jua akan mengejarku, walau aku tidak perlukan dunia. Aku hanya perlukan Allah, penyambung rasa cintaku. Lalu, walau aku bukan Perdana Menteri, masih Allah yang pertama. Cintaku hanya untukNya Yang Maha Esa. MADINA Bandar Baru Bangi 02 03