Rumah Buku e-zine vol LAPAN | Page 9

|Monolog Kembara PILIHAN Melewati jalan-jalan yang sunyi, ditemani rembulan sepi, aku sembunyikan rasa yang bergolak di hati. Aku pilih jalan ini, aku pilih cara ini. Tiada siapa yang boleh persoal bahkan menanggung akibat diatas pilihan ini melainkan aku sendiri. Aku telusuri pula lembah duka, mengatur langkah ditemani airmata. Bukan salah siapa-siapa, ini adalah sebuah hakikat dunia. Kesilapan adalah pengajaran. Kesakitan adalah kekuatan. Kelukaan adalah sebuah pengalaman paling berharga. Aku b iarkan titisan darah luka di hati menitis disepanjang perjalanan. Biarkan ia menjadi tanda, bahawa sejauh ini aku melangkah bukan untuk tiba setakat ini semata-mata, tetapi masih jauh lagi perjalanan yang perlu aku tempuh demi sebuah bahagia. Kali ini dipesisir pantai, aku lihat ombak-ombak kecil menyapa pepasir pantai dengan manja. Aku tersenyum seketika. Mungkin, disini aku bisa bertemu ketenangan walau sementara. Masih tabah melangkah dengan sisa-sisa kekuatan yang masih ada. Tiba-tiba, langit bertukar mendung. Petir berdentum dilangit, kilat sambung menyambung. Ombak kecil tadi telah berubah, kali ini badai besar melanda. Pepasir di pantai juga berganjak dilanda badai. Bukan sahaja ombak, bahkan ranting-ranting kayu juga dibawa arus hingga tersadai. Seketika cuma, bila langit kembali cerah, aku lihat pantai tadi telah berubah wajah. Dari sebersih pepasir putih, kini dicemari dengan sisa-sisa ranting dan sampah. Aku sedar, ada jiwa lain turut terluka dengan pilihan yang aku buat. Jiwa aku juga sama. Kesannya? Bukan sementara. Bukan biasa-biasa. Tetapi, inilah kehidupan.