HIDUP SEBENAR-BENAR HIDUP
Hari ini aku terbang lagi. Melihat anak-anak bertatih seawal pagi menerokai alam kecil.
Keluar menuntut ilmu harian yang ditetapkan oleh fitrah manusia untuk kelangsungan hidup.
Berkejar-kejaran di jalanan mendalami ilmu alam di bawah payung awan. Kadang-kala
mandi bersama teman disimbah si ibu hujan. Gemersik ayunan bunyi pelbagai kenderaan
menjadi muzik yang mengusik jiwa berterbangan. Di sebalik latar mentari entah dari mana
asap menghiasi bandaraya metropolitan. Menjadi satu pentas penuh keajaiban.
Berbakti pada masyarakat bukan mengemis untuk sepinggan tenaga. Berbekal kudrat yang
ada membantu sesama insan lebih indah dari memiliki sejuta keping siling bercahaya.
Apabila penat di bawah pohon ketapang mereka berehat menikmati sandiwara
terbentang di depan mata dengan senyuman penuh minat.
Semalam, aku turun menemani mereka apabila si ibu hujan menyimbah azimatnya ke bumi.
Aku tidak pernah rasa seperti semalam. Tiada kerisauan, tiada tekanan. Badan lencun
dalam azimat si ibu hujan. Menari bersama mereka, melihat mereka ketawa dan
bergembira. Indah sungguh kenangan semalam. Akan aku simpan memori ini di satu sudut
terbaik untuk masa-masa mengukir senyuman.
Tidak seperti semalam, hari ini sinar mentari menemani mereka. Aku hairan tiada si ibu hujan
menyimbah azimatnya, namun mereka tetap riang seperti biasa. Makin kuat gelak ketawa
biar pun butir-butir mutiara mula membasahi baju lusuh yang mereka ada. Mereka gembira
seadanya biar apa pun masa yang menjelma. Hidup sebenar-benar hidup, menikmati
nikmat tuhan dalam cara berbeza.
Aku singgah berteduh di bawah pohon cemara mengeluarkan tinta memalit dalam sebuah
buku azimat untuk menjadi sebahagian dari memori keramat yang akan ku semat buat
selamanya. Dunia ini penuh warna-warni, sebelum kekal di ukhrawi.
56