SI GADUT
Aku sambut mangkuk berisi kuah sup. Mangkuk putih itu terasa hangat di tapak tangan aku.
Tiada isi ayam hanya kuah sup dan beberapa helai daun hijau berada di dalamnya. Aku
hirup perlahan-lahan dari bibir mangkuk, terasa nyaman dan hangat mula membaluti
tubuhku. Beberapa hirupan mangkuk itu licin tidak bersisa. Aku kembalikan semula mangkuk
putih kepada tuannya. Senyuman tanda terima kasih aku hadiahkan. Semoga tuhan
membalas jasanya.
Perjalanan hari ini agak sukar, hujan turun tanpa henti dari pagi lagi. Mahu berteduh di
bawah pondok si penjual sup aku fikir agak kurang enak. Takut-takut mengganggu
pelanggan-pelanggannya yang asyik menikmati sup ayam bersama secawan teh panas.
Badanku yang hamis pasti mengganggu pelanggannya. Mahu atau tidak aku teruskan
sahaja mengesot di kaki lima jalan sambil membiarkan tubuhku disirami nikmat tuhan.
Mungkin ini hikmah yang baik, sedikit sebanyak dapat membasuh debu-debu di badanku.
"Supardi...Supardi", Kedengaran seseorang memanggil aku dari arah jalan bertentangan.
Aku menoleh melihat dalam kesamaran titisan hujan. Gadut kelihatan mengangkat tangan
dan menari-nari dalam hujan di seberang jalan. Riang sungguh si Gadut, sambil aku
tersenyum melihatnya. Gadut berjubah biru tua, berjanggut putih tanpa sepatu masih
menari-nari dalam hujan yang agak lebat. Si Gadut melambai-lambai ke arahku seolah-
olah meminta aku ketempatnya. Aku hanya menggelengkan kepala sahaja dan teruskan
mengesot mencari tempat berteduh.
Banggg! kedengaran satu bunyi aneh disertai jeritan yang agak kuat dari seberang jalan.
Aku teringat akan si Gadut, si tua yang berperangai seperti anak kecil yang sentiasa
menghiburkan aku dengan keletahnya. Orang ramai mula berkumpul di tempat Gadut
menari tadi.
54