Rumah Buku e-zine rumah buku vol.3 | Page 4

miftahul jannah( bahagian dua)

miftahul jannah( bahagian dua)

- wanda alwani
Alhamdulilah. Sekali lafaz, aku kini sudah sah menjadi seorang isteri, dan juga seorang ummi. Majlis kami sederhana saja, mama dan abah sungguh gembira. Iskandar dah macam anak betul pula, hingga apa-apa sikit pasti Iskandar. Mama dan abah tak ada anak lelaki, jadi sekarang dah ada menantu lelaki, memang pastinya dimanjakanlah. Selesai semuanya, aku ikut Iskandar pulang ke rumahnya. Afiq gembira betul, beriya-iya dia bercerita macam-macam. Sebaik sahaja kaki aku melangkah masuk, aku terpandang gambar-gambar disuatu sudut rumah. Gambar Iskandar, Afiq dan arwah. Ya, wajah arwah hampir seiras dengan wajahku. Afiq menarik tangan aku ke kamarnya, menunjukkan buku-buku dan mainan miliknya. Tenang hati melihat Afiq bergelak ketawa. Malam itu aku cuma masak lauk ringkas. Afiq berselera betul. Iskandar cuma menjamah sedikit, dan kemudian keluar. Katanya ada urusan dengan kawan. Selepas tidurkan Afiq, aku menonton televisyen di ruang tamu sambil menunggu Iskandar pulang.
* * * * * * * * * *
Lenaku agak terganggu mendengar bunyi kereta dihadapan rumah. Aku lihat jam di dinding, hampir ke pukul dua pagi. Terdengar bunyi ketukan di pintu, dan suara Iskandar memberi salam. Aku bergegas membuka pintu. " Maaflah, saya lupa bawa kunci rumah tadi." Ujarnya. " Tak apa, saya memang tunggu awak balik." Balasku. Langkahnya diatur terus ke kamar. Aku mengekori dari belakang. Usai dia mandi, aku bertanya sekiranya dia memerlukan apa-apa. " Tak ada apa. Awak tidurlah." Balasnya ringkas. Aku hanya mengangguk. Sebaik saja aku duduk diatas tilam, dia bersuara, " Saya kahwin dengan awak sebab perlu awak jadi ummi untuk Afiq. Jangan berharap lebih-lebih sebab dalam hati saya, cuma ada dia. Sampai bila-bila pun, cuma dia. Awak, tak setanding dia." Katanya, dia mengambil bantal dan selimut didalam almari, lalu keluar dari bilik. Pintu bilik ditutup rapat. Aku masih terkedu. Cuba menghadam maksud disebalik kata-katanya tadi.
02