cerpen pendek
Tangan Afiq aku genggam erat. Wajahnya aku kucup sayu. Pucat. " Afiq sayang, ummi datang ni.. bangunlah.."
Aku rasa, Afiq balas genggaman aku walau lemah. Aku yakin Afiq dengar, cuma terlalu lemah untuk bertindak balas. Iskandar masuk, diikuti makcik Asma, kak Husna dan ayahnya. Semua mereka hanya memandang sayu. Aku berbicara lagi dengan Afiq. " Afiq bangun ye, nanti ummi suapkan Afiq makan. Ummi temankan Afiq tidur. Ummi janji, ummi ada untuk Afiq." Seiring lafazan janji itu, airmata aku mencurah-curah. Sungguh, aku sayang anak ini. Demi Allah, aku sayang anak ini.
" Jannah, makcik dah bincang dengan keluarga makcik, Iskandar pun tak ada bantahan. Kalau Jannah setuju, kami nak jumpa dengan keluarga Jannah. Kami berhajat, nak sunting Jannah untuk Iskandar. Macam mana?"
Teringat semula kata-kata makcik Asma petang itu selepas aku suapkan makanan untuk Afiq dan tidurkan Afiq. Alhamdulilah, Afiq kembali tindak balas walau sangat lemah. Dia jamah bubur tapi cuma sedikit. Walau dia tidur, tangannya masih memegang tanganku, erat. Iskandar waktu itu di kafe, bawa kakak dan ayahnya makan. Cuma aku berdua bersama makcik Asma menemani Afiq. Aku tidak berikan apa-apa jawapan. Aku cuma minta waktu untuk aku istikharah, dan berbincang dengan keluarga. Zahra? Masih setia disisi aku.
" Zahra, kau rasa macam mana?" Soalku ketika kami sedang sama-sama kemas barang untuk pulang ke kampung. " Kalau aku, aku nak kau setuju je. Sebab, kau pun memang sayangkan Afiq kan? Dan Afiq pun memang perlukan kau. Tapi, terpulang pada kau lah. Sebabnya, kau nak kahwin ni dengan babanya si Afiq. Jadi, fikirlah masak-masak."
* * * * * * * * * * * Mereka sekeluarga ikut aku pulang ke kampung. Aku dah maklumkan pada mama dan abah, dan mereka tak ada sebarang masalah. Alhamdulilah, kesihatan Afiq semakin baik. Selalu juga makcik Asma bawa dia jumpa aku di asrama sebelum kami sama-sama pulang ke kampung. Sepanjang perjanalan, Afiq langsung tak mahu berenggang dengan aku. Semuanya mahu dengan aku. Rasa macam dah memang anak aku dah. Iskandar? Diam. Cuma sesekali mencelah menjawab bila disoal. Aku tak pasti apa dia betul-betul setuju atau dipaksa. Sepanjang perjalanan itu, dia tak pandang pun aku. Bercakap? Apatah lagi.
17