Rumah Buku e-zine Rumah buku vol 7 | Page 6

|Pertandingan cerita pendek Ali mempunyai impian luhurnya yang tersendiri, menyiapkan anak-anaknya untuk meng- hadapi dunia, memecahkan kepompong kemiskinan keluarga. Biarlah cita-citanya yang tidak kesampaian dahulu diteruskan oleh zuriatnya sendiri. Demi sekeping tiket penting dalam hidup yang digelar pelajaran, biarlah dia yang bersusah payah membanting tulang empat keratnya sekarang. Kepenatan mencari sesuap nasi itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan tawa gembira isteri dan anak-anak. Ali percaya, di hujung gerimis akan selalu muncul titis warna indah pelangi. * * * “Hati-hati memandu Cik Ali, kirim salam ye pada Kak Sal.” Abah mengangguk senyum pada jururawat yang selalu disapa sebagai Cik Ina. Seperti kebanyakan pesakit buah pinggang yang lain, setelah selesai menjalani rawatan hemodialisis, Abah memerlukan rehat secukupnya. Tempoh masa 5 jam yang diambil untuk mencuci darah kotor dari tubuh menggunakan mesin itu pastinya meragut tenaga pesakit. Tapi aku sudah masak dengan perangai Abah, dia tidak suka kalah kepada sakit. Hari ini selesai rawatan dialisis, Abah dan Mama terus bertolak ke Kuantan bagi menjemputku. Bagi aku, cita-cita Abah sudah lebih dua per tiga tercapai. Along kini memegang jawatan pegawai tadbir diplomatik, Angah pula seorang jurutera. Semoga puteri tunggal ini berjaya menyempurnakan cita-cita Abah. Mungkin bagi insan lain, kehidupan seperti Abah dilabel susah dan getir, ditimpa keperitan dari kecil sehingga sekarang. Namun bagi Abah, susah itu adalah anugerah dari Tuhan, buat menghapus dosa-dosa lamanya. Biar wang ringgit tidak sebanyak mana, namun bahagia selalu hadir dalam jiwa. Hidup biar berbakti, kerana bagi Abah, susah itu anugerah. Karya : NUR SHAZLEEN NISHA BT ROZALI 04