Koleksi Buku Karangan AUG 2014 | Page 50

HARAPANKU Oleh Sarah Qistina Binte Ramlan Sekolah Rendah Unity ___________________________________________________________________________ Guruh berteriak hebat, seolah-olah menggegarkan bilikku. Hujan menikami bumi tanpa henti. Di sebelahku duduk seorang perempuan. Dia memegang tanganku erat-erat. Kulihat kolam matanya sudah berkaca. Perlahan-lahan air jernih mengalir ke pipinya. Sebelum aku sempat bertanya siapakah dia, pintu bilik terbuka lalu masuk seorang lelaki. Dia memakai sehelai kot putih. Aku tersangat pening dan wajahku berkerut. Fikiranku kusut. Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku ketika itu. “Dia menghidapi barah otak kerana kepalanya terhantuk kereta yang melanggarnya. Dia tidak boleh ingat sesiapa pun, kecuali dirinya sendiri,” doktor itu memberitahu perempuan itu. “Mungkin mereka tidak perasan yang aku sudah sedar,” fikirku. Aku pun membuka mata dan cuba menggerakkan tanganku. Perempuan itu berlari ke arahku. Air matanya semakin deras mengalir ke pipinya. Dia memelukku dengan erat lalu bertanya jika aku berasa sihat. Aku semakin hairan. “Siapakah engkau? Di manakah saya? Tolong! Tolong!” aku memekik penuh kebingungan. Nafasku sesak. Tulang pipiku bagai tersembul keluar. Perempuan itu memberitahu aku supaya bersabar dan jangan bimbang. Dia pun memberitahuku namaku dan menjelaskan bahawa dia adalah ibuku. Aku cuba menenangkan diri. Aku menghela nafas yang panjang sementara ibuku mula menceritakan kepadaku segala-galanya tentang diriku. Aku sering dibuli semasa aku kecil dan aku sering menggigit jariku. Semasa mendengar cerita ibuku, tiba-tiba kepalaku terasa sakit. Aku memekik kesakitan. Ibuku terkejut dan berhenti bercakap. Doktor berlari ke arahku untuk memeriksa keadaanku. Tidak lama kemudian, aku dibawa ke bilik khas untuk dibedah. Setelah menjalani pembedahan, kepalaku berasa sangat berat bagai batu digantung. Beberapa minggu kemudian, rambutku semakin hari semakin banyak yang gugur. Akhirnya aku miskin rambut. Berita yang baik ialah aku boleh ke sekolah semula! Sudah beberapa bulan aku tidak ke sekolah. Aku amat merindui kawan-kawanku. Sinar gembira menerangi seluruh jiwa ragaku yang lara. Pada keesokan harinya, aku ke sekolah dengan penuh keyakinan. Yakin, rakan-rakanku tidak akan mentertawakan aku jika mereka melihat kepalaku yang tidak berambut lebat seperti dahulu. Tetapi ketika aku memasuki perkarangan sekolahku, banyak biji mata terpaku ke arahku. Mereka tak kering gusi. Fiil mereka menggores hati. Aku segera berlari ke tandas dan menangis semahu-mahunya. 50