PENYESALAN MEMBAWA KEBAIKAN
Oleh Muhammad Amir Rusydi
Sekolah Rendah Kheng Cheng
______________________________________________________________________________
Hujan turun mencurah-curah pada hari itu. Puan Indra telah membuat keputusan untuk
berehat sahaja di rumah. Dia sedang menikmati minuman kopi kegemarannya serta makan
sekeping biskut. Pada masa yang sama, dia melihat serta membelek-belek gambar-gambar lama
anaknya. Dia tersenyum apabila melihat gambar anak sulungnya, Veram. Gambar-gambar ini
memberi kesan nostalgia kepada Puan Indra.
Ini membuatnya teringat akan satu peristiwa yang tidak dapat dia lupakan hingga ke hari
ini. Kisah ini terjadi pada tahun 1960. Pada waktu itu, Veram berumur lapan tahun. Sebenarnya,
Veram adalah seorang yang baik hati kerana dia sangat gemar menolong guru-gurunya. Dia
memang seorang yang ringan tulang. Akan tetapi, Veram mempunyai satu perangai buruk yang
sukar untuk ditinggalkan. Veram suka mengusik teman-teman sekolahnya. Pada ketika itu, Puan
Indra bekerja sebagai seorang guru di sekolah Veram. Setiap hari, ada sahaja murid yang
menangis dek usikan Veram.
Pada suatu ketika, Veram bercadang untuk mengusik seorang temannya yang sedang
bermain bola. Dia terus meluru ke arah temannya itu lalu menendang bola ke arah pejabat
pengetua. “Piang!!” Kesemua tingkap kaca pejabat pengetua pecah dan hancur berderai. Dengan
perasaan takut, Veram pun bersembunyi di belakang sebatang tiang lalu segera pulang ke rumah.
Pada keesokan harinya, pengetua sekolah memanggil Puan Indra dan anaknya, Veram, ke
pejabat. Rupa-rupanya temannya yang bermain bola itu telah melaporkan perbuatan Veram
kepada pengetua sekolah. Pengetua sekolah pun bertanya kepada Veram tentang apa yang telah
berlaku. Puan Indra amat terperanjat dan kecewa dengan perbuatan anak kesayangannya itu.
Veram terpaksa berterus terang tentang kejadian yang sebenar. Dia menangis teresak-esak
dengan perasaan kesal. Akibat kerosakan pada tingkap pengetua, Puan Indra terpaksa membayar
ganti rugi. Kesemua wang gaji Puan Indra habis digunakan dan mereka sekeluarga terpaksa ikat
perut. Selama sebulan, Veram hanya makan ubi dan minum air putih sahaja akibat perbuatannya
yang amat merugikan itu.
Kejadian ini adalah satu pengajaran bagi Veram yang sangat suka mengusik temantemannya. Dia berasa serik dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya yang buruk itu.
Sejak hari itu Veram telah menanamkan azam di dalam hatinya agar menjadi budak yang baik.
Dia ingin menebus dosa-dosanya terhadap teman-temannya dengan melayan dan berlaku baik
terhadap mereka.
Sekarang, Veram telah dewasa dan telah menjadi seorang yang berjaya dalam
kehidupannya. Perbuatannya yang lalu itu telah mengubah perangai dan sifat Veram supaya
menjadi seorang yang baik dan berhemah tinggi.
24