Koleksi Buku Karangan AUG 2014 | Page 21

PERTEMUAN Oleh Elfira Binte Ezra Sham Sekolah Rendah Innova ____________________________________________________________________________ Sudah setengah jam Dini merenung kedua-dua orang yang duduk hanya beberapa baris di hadapannya. Haruskah aku menyapa mereka? Bisik Dini dalam hati. Dini berasa pelik. Dia seperti pernah melihat wajah mereka. Jarum perasaan ingin tahu menyuntik ke dalam dirinya. Dini tidak memberikan perhatian kepada sesi pengajaran malam itu. Dini menghadiri kuliah malam kerana dia sedang mengambil program ijazah. Fikiran Dini melayang-layang. Dengan serta-merta, dia teringatkan peristiwa yang berlaku dua puluh tahun yang lalu. Waktu itu, dia berumur 10 tahun, adiknya, Iman, berumur 4 tahun, manakala adiknya yang bongsu, Siti, berumur 3 tahun. Pada hari pertama cuti sekolah, ibu bapa Dini membawa Dini dan adik-adiknya bercuti ke Kuala Lumpur. Suasana di dalam kereta pada waktu itu riuh rendah dengan senda gurauan mereka. Ketika hendak membelok masuk ke lebuhraya Utara-Selatan, sebuah treler hilang kawalan dan akhirnya merempuh kereta bapa Dini. Kemalangan yang tidak berbau itu telah meragut nyawa ibu bapa Dini. Kecederaan yang dialami Dini dan adik-adiknya tidaklah begitu parah. Mereka dirawat di hospital. Jenazah ibu bapa Dini telah dibawa pulang oleh pak cik dan mak ciknya ke Singapura. Jenazah mereka telah selamat dikebumikan tanpa kehadiran Dini dan adik-adiknya. Dini dan adik beradiknya umpama anak ayam kehilangan ibu. Seminggu selepas kejadian itu, pegawai perkhidmatan sosial telah datang ke hospital dan menguruskan kepulangan Dini dan adik-adiknya ke Singapura. Dalam perjalanan pulang, hati Dini tertanya-tanya mengapa pegawai perkhidmatan sosial yang datang menjemput mereka dan bukan ahli keluarganya yang lain. Setibanya di Singapura, mereka dibawa ke pusara arwah ibu bapa mereka. Mereka menangis teresak-esak sambil membacakan surah al-Fatihah dan surah Yasin. Kemudian, mereka dibawa pulang ke Rumah Anak Yatim Pelangi. Dini dan adik-adiknya semakin keliru. Pegawai tersebut menerangkan mengapa mereka berada di situ. Rupa-rupanya tiada seorang pun ahli keluarga yang sanggup menjaga mereka kerana menganggap Dini dan adik-adiknya seperti mendukung biawak hidup. Beberapa bulan selepas itu, Dini dikejutkan lagi dengan berita yang menyayat hati. “Jangan! Jangan ambil adik-adikku!” pekik Dini kepada seorang lelaki yang akan menjadi bapa angkat kepada adik-adiknya. Hari itu adalah hari terakhir dia bersama adik-adiknya. Tiba-tiba, lamunannya terputus apabila namanya dipanggil pensyarah. Semua mata tertumpu ke arahnya. Dini menjadi tidak tentu arah. Kedengaran suara seseorang memberi jawapan kepada soalan yang diajukan oleh pensyarah kepada Dini. Dini mencari-cari suara itu. Rupa-rupanya, suara itu datang dari orang yang direnungnya sejak tadi. Selepas habis kuliah, Dini berlari mendapatkan orang yang telah menolongnya. Dia mengucapkan terima kasih dan menanyakan nama kedua-dua orang itu. Mereka memperkenalkan diri mereka sebagai Siti dan Iman. Dini melonjak keriangan, orang yang selama ini dicarinya akhirnya bertemu juga. Pada waktu itu, dompet Siti terjatuh lalu sekeping foto keluarga kelihatan. Dini mengangkat foto itu dan menatap foto itu. Tanpa disedari, air matanya berlinangan. Dini dengan cepat mengeluarkan foto itu dan menunjukkannya kepada Siti dan Iman. Dini terus memeluk mereka. Pelukannya disambut mesra oleh kedua adiknya. Mereka pun berjalan menuju ke Kafe Mesra. Di sana, mereka menceritakan apa yang berlaku kepada diri masing-masing setelah dua puluh tahun berpisah. Setelah sekian lama, akhirnya mereka bersatu kembali. 21