HIDUP UNTUKMU
Oleh Noornabilla Binte Khairuddin
Sekolah Rendah Ang Mo Kio
_____________________________________________________________________________
Zafril dibesarkan oleh datuknya semenjak ibu bapanya meninggal dunia lima tahun yang
lalu. Walaupun hidup mereka susah, Zafril tetap ditatang bagai minyak yang penuh oleh
datuknya.
Setiap hari, datuknya, Tok Din yang sudah berusia keluar bekerja sebagai seorang
pegawai keselamatan untuk menyara hidup mereka berdua. Tok Din bekerja keras untuk
mengumpul duit agar Zafril dapat melanjutkan pelajarannya sehingga ke menara gading. Tok
Din percaya bahawa dengan adanya pelajaran, Zafril dapat mengubah nasib hidup mereka
berdua.
Tahun berlalu dan Tok Din kini semakin tua. Dia tidak beberapa sihat seperti dahulu lagi
dan sering jatuh sakit. Zafril yang kini belajar di peringkat menengah lima terpaksa mengambil
alih tugas datuknya. Dia akan ke sekolah pada waktu pagi dan bekerja sambilan pada waktu
petang. Selain itu, dia juga terpaksa menjaga Tok Din yang semakin uzur. Walaupun letih,
Zafril terpaksa berkorban demi datuknya yang amat dikasihi.
Tok Din pun berkata,” Simpan buku ini dan gunakanlah wang yang ada untuk
melanjutkan pelajaran kamu. Atuk benar-benar ingin melihat kamu berjaya.” Sambil
memegang buku bank itu, Zafril merenung wajah sayu datuknya itu lalu menitiskan air mata.
Beberapa bulan berlalu dan keputusan peperiksaan akhir diumumkan. Berkat usaha
gigihnya itu, Zafril lulus dengan cemerlang dan layak untuk melanjutkan pelajaran ke politeknik.
Zafril melonjak kegembiraan lalu terus berlari pulang untuk menyampaikan berita gembira itu
kepada datuknya. Namun, betapa remuk hatinya apabila dia melihat datuknya terlentang di
hadapan pintu tandas. Tanpa berlengah, Zafril menelefon ambulans untuk membawa datuknya
ke hospital.
Setelah beberapa jam di hospital, Zafril diberitahu bahawa datuknya harus menjalani
pembedahan kecemasan. Tanpa berfikir panjang, Zafril bersetuju dan menggunakan wang
simpanan datuknya untuk membayar kos pembedahan itu.
Dengan izin tuhan, Tok Din selamat menjalani pembedahan. Setelah Tok Din sedar
daripada pembedahan itu, dia bertanyakan kepada Zafril di manakah Zafril mendapatkan wang
sebanyak itu. Zafril menceritakan bahawa dia telah menggunakan wang simpanan datuknya itu.
Tok Din berasa sungguh terharu dengan apa yang dilakukan oleh Zafril. Wang simpanan
yang sepatutnya digunakan untuk melanjutkan pelajaran telah digunakan untuk menyelamatkan
nyawa datuknya.
Bagi Zafril, walaupun, dia tidak dapat melanjutkan pelajaran buat masa ini, dia berjanji
untuk berusaha mengumpul wang dan melanjutkan pelajaran demi memenuhi permintaan
datuknya itu.
10