1st Edition 2020 | Page 26

Lain daripada itu, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab bertindak menyamar sebagai ejen yang dilantik oleh Bank Negara Malaysia bagi menguruskan moratorium pelanggan bank termasuk individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka. Situasi ini menjadi bertambah teruk apabila hadirnya penjenayah yang mahir dalam penggunaan komputer dan dapat melakukan serangan siber dengan lebih mudah dengan menggunakan panduan yang boleh didapati terus daripada internet. Justeru itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati memandangkan isu penipuan dalam talian semakin berleluasa terutamanya dalam tempoh pelaksanaan PKP ini. Orang ramai diminta untuk sentiasa berwaspada dengan penipu kewangan atau scammer yang licik menggunakan teknik memperdaya mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai wakil pihak tertentu untuk mengambil maklumat peribadi mangsa mereka seterusnya mendapatkan apa yang dimahukan daripada mangsa. Terdapat banyak teknik atau modus operandi yang digunakan oleh penipu kewangan demi mendapatkan wang dengan pantas. Ada segelintir yang mungkin menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa, pegawai mahkamah atau wakil agensi tertentu untuk menipu mangsa. Kemahiran penipu kewangan dalam mencipta laman web palsu yang berselindung di sebalik agensi yang sah untuk mendapatkan maklumat peribadi pengguna tanpa disedari turut merunsingkan keadaan. Dalam menangani masalah ini, agensi keselamatan siber CyberSecurity Malaysia (CSM) telah mengeluarkan amaran dan saranan keselamatan berkaitan COVID-19 sepanjang PKP tentang penjenayah siber yang melakukan penipuan dalam talian. Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata tindakan memberi amaran dan saranan akan diambil sepanjang tempoh PKP dari semasa ke semasa. “Penjenayah siber mengambil peluang untuk mengaut keuntungan dengan melakukan penipuan dalam talian membabitkan scam serta e-mel phishing menggunakan isu COVID-19, ” tambahnya. Tambahan pula, pada era digital ini, alat memerangi jenayah menggunakan kuasa teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan pihak tertentu untuk mengesan dan mencegah sebarang aktiviti jenayah siber. Sebagai contoh, teknologi AI boleh mengenal pasti kes penipuan wang dalam talian menggunakan kebolehan komputer dengan lebih cepat dan tepat berbanding manusia. Selain daripada usaha yang dilakukan oleh kerajaan, rakyat juga diminta untuk mengambil langkah berhati-hati untuk mengelak dari menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian. Jurucakap Polis Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew mengingatkan orang ramai bahawa polis atau mana-mana pihak penguatkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak akan membuat panggilan telefon untuk meminta butiran peribadi individu. “Sekiranya orang ramai ada menerima panggilan kononnya daripada pihak berkuasa dan meminta butiran peribadi termasuk nombor akaun bank, putuskan talian serta merta bagi mengelakkan ditipu, ” katanya. SASARAN EDISI 82 26