1st Edition 2020 | Page 165

negara kita dalam melahirkan karya-karya berkualiti. Penulis menyatakan filem ini adalah karya berani hasil pengarah muda Imran Syeik. Seperti filem Crossroads: One Two Jaga yang berani mengangkat realiti rasuah dalam kalangan polis Malaysia, begitulah juga dengan Daulat yang mengetengahkan landskap politik yang dekat di hati penonton di mana sedikit sebanyak dapat dikaitkan dengan kemelut politik di Malaysia. Pada permulaan filem, penonton menyaksikan bagaimana kejatuhan parti politik MUNA di bawah pimpinan Hasan, lakonan Tony Eusoff, tewas di tangan Parti WAWASAN dalam pilihan raya. Dari situ, bermulanya watak Suri (Vanidah Imran) yang diarahkan Hasan untuk menyusun atur strategi demi menaikkan MUNA supaya kepercayaan rakyat dapat ditawan semula. Kekalahan yang dihadapi MUNA adalah kenyataan yang ditunjukkan rakyat kerana mereka berkuasa memilih siapa yang layak memerintah walaupun MUNA sudah menjadi kerajaan selama beberapa dekad. Bak kata Suri, “Orang memang dah tak suka kita Hasan”. Dalam pada masa yang sama, untuk bermain dalam dunia politik, seseorang itu harus bijak dalam pemilihan langkah bagi mengawal situasi. Setiap rancangan harus diperhalusi sebaik mungkin untuk berdepan dengan serangan musuh, sama ada dari depan, kiri, kanan mahupun belakang. Seiring dengan dialog yang dilontarkan Suri, sebuah metafora oleh ahli falsafah Sun Tzu dalam The Art of War iaitu “Jadikanlah rancanganmu gelap seperti malam, namun bergerak seperti halilintar”. Gambaran jelas boleh dilihat dalam adegan permainan catur antara Hasan dan Suri. Walaupun mereka sedang berbincang, masing-masing masih berhati-hati ketika menggerakkan buah catur. Bukan sekadar berjalan terus, tetapi memerhati di mana pihak lawan berada. Boleh dikatakan lima minit pertama sahaja cukup membuatkan penonton tidak sabar menonton babak seterusnya. Perjalanan filem ini diolah dengan baik dan teratur. Setiap babak yang berlaku cukup membuatkan penonton faham kesinambungan plot lebih-lebih lagi mereka yang kurang pengetahuan tentang ilmu politik. Ditambah pula dengan dialog yang digunakan, mudah difahami walaupun bercampur penggunaan bahasa. Sebagai contoh, apabila Suri menyatakan strateginya kepada Hasan untuk mewujudkan divide et impera kepada pemimpin utama WAWASAN, Tun Malik (Jalaludin Hassan) dan timbalannya, Ali (Zul Zamir). Kelemahan Ali yang terlalu mengidamkan posisi Perdana Menteri secara tidak langsung menjadi umpan kepada Suri untuk mengenakan konsep pecah dan perintah ini. Memandang daripada aspek lakonan pula, Tony melakonkan watak Hasan dengan baik sekali dengan menunjukkan dua sisi berbeza iaitu sebagai seorang presiden MUNA yang kompetitif tetapi seorang ketua keluarga penyayang apabila berada di rumah. Tidak kurang hebatnya, Vanidah, seorang pelakon yang pernah dinobatkan anugerah sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem. Watak licik Suri yang ‘bertuhankan’ Machiavelli dilakonkan oleh beliau dibawa dengan sangat konsisten. Sebagai pelakon yang berpengalaman, ekspresi muka yang ditunjukkan pula amat menghayati keinginan watak. Dialog yang dilontarkan beliau juga tidak terlalu terikut dengan hafalan skrip sekaligus menjadikan lakonannya nampak lebih meyakinkan. Antara watak lain yang turut menjadi bahan perbualan penonton adalah Idrus (Rashidi Ishak), Nadiya (Christinna Suzanne) dan Jasmin (Jasmine Suraya). Ketiga-tiga watak ini berjaya merancakkan lagi dengan konflik skandal seks, tikam belakang serta penganiayaan yang berlaku di sebalik percaturan kuasa politik. Sudah menjadi lumrah manusia, masing-masing mempunyai agendanya yang tersendiri. Siapa sahaja yang leka pasti akan dipijak. Sebagai karya sulung daripada Imran, Daulat mempunyai kekurangannya yang tersendiri dimana ia dipengaruhi oleh faktor kekangan bajet dan masa. Sama seperti filem ROH terbitan Kuman Pictures yang berbajetkan RM 360 ribu, Daulat terbitan Lacuna Pictures ini juga terpaksa menelan bajet kecil serendah RM 500 ribu. Dicampur dengan penggambaran filem yang terhad iaitu selama 14 hari sahaja bermula 1 hingga 14 Julai 2019. Namun, itu bukan penghalang untuk Daulat melangkah ke dalam industri filem setanding dengan karya hebat yang lain. Dalam pada itu, kebanyakan penonton berpuas hati dengan percubaan pertama sang pengarah ini walaupun beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana warkah secara profesional sebelum ini. Bertemankan komen-komen positif yang diterima, diharap beliau masih berani mengeluarkan versi prequel atau sequel pula pada masa yang akan datang. SASARAN EDISI 82 165