1st Edition 2020 | Page 159

Secara realitinya. ketika acap kali media melaporkan senario nasib pemandu teksi, indra penglihatan orang ramai mungkin telah dikaburi sehingga tidak sedar ada dunia kedua yang menjadikan hidup mereka bertuhankan wang ringgit. Walaupun filem ini merupakan arahan sulung daripada Zahir, susun atur plot digarap dengan cukup kemas dan menjadikan aliran cerita bergerak dalam logik yang tepat untuk penonton mengenali bagaimana sekumpulan pemandu teksi, bertindak sebagai sindiket penipuan memeras ugut penumpang kaya dari lapangan terbang. Malangnya, perkara sebaliknya terjadi apabila salah seorang daripada ahli sindiket bertindak untuk bekerjasama dengan salah seorang mangsa. Peranan setiap watak dicipta dan dikembangkan dengan cukup memuaskan, tidak kira watak utama hatta sekecil watak sampingan pun, berjaya menyinar di hati penonton. Contohnya seperti pelakon veteran Sunny Pang, watak ketua sindiket bernama Tailo dimainkan dengan standard yang lain daripada yang lain berikutan penglibatannya dalam filem pelbagai negara sebelum ini. Tidak kurang juga lakonan dari Eric Chen sebagai Ah Choon, Fabian Loo sebagai Sailo dan Jack Tan sebagai Gwailo. Pada separuh masa pertama filem, lakonan bersahaja daripada Bront Palarae nampaknya bakal memperdaya penonton dengan kisah pembongkaran kisah silam watak Inspektor Kamal. Kehandalan Bront dalam bidang lakonan sememangnya tidak harus disangkal lagi di mana beliau bijak dalam permainan bahasa tubuh dan reaksi wajah yang seterusnya wajib diberi pujian. Menyentuh dari segi sinematografi, kepakaran pengarah fotografi Low Soon Keong dapat diperlihat apabila warna yang diguna pakai seiring dengan senario dan mood yang dipersembahkan. Sebagai individu yang pernah berkhidmat di bawah semua filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, beliau mahir menggambarkan konflik serta emosi yang dilalui Tailo dan adik-beradiknya dengan warna kelam untuk mewujudkan suasana suram dan penuh masalah. Berbeza dengan warna merah, yang menggambarkan dominasi kekuasaan pemilik kelab ceti haram, Jared, iaitu lakonan Frederick Lee. Keunikan yang diketengahkan dalam filem ini adalah, hanya beberapa kerat sahaja pelakon Melayu yang muncul dan kebanyakan pelakon terdiri daripada bangsa Cina. Malah, hampir 70 peratus penggunaan bahasa Cina telah digunakan sehinggakan pada sekali imbas, filem ini saling tidak tumpah seperti filem Hong Kong dengan campuran hasil arahan pengarah Melayu dan penerbit berbangsa India iaitu Perin Petrus. “Ada dunia kedua yang menjadikan hidup mereka bertuhankan wang ringgit.” Yang pastinya, filem ini mempunyai rempah rasanya yang tersendiri dalam menempatkan diri dalam industri filem di Malaysia. Fly by Night layak dianggap sebagai sebuah lagi naskhah tempatan yang hebat selepas filem Cross Roads: One Two Jaga, kerana terpilih menerima Dana Pasca Penerbitan daripada Dana Filem Asia (Asian Cinema Fund, ACF) sebelum membuat tayangan perdananya di Pesta Filem Antarabangsa Busan 2018. Sambutan menggalakkan daripada penonton membuatkan filem ini terpilih untuk ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa lain seperti Pesta Filem Antarabangsa Santa Barbara 2019 diikuti dengan Pesta Filem Asian New York 2019, Pesta Filem Asia Jogja-NETPAC dan Pesta & Anugerah Filem Antarabangsa (IFFAM) Macau Edisi ke-3. Fly by Night memikat penonton dengan ‘worst scenario’ yang mungkin terjadi ketika menaiki teksi. Gambar: Netflix SASARAN EDISI 82 159