1st Edition 2020 | Page 121

Sebuah video yang telah dimuat naik ke dalam YouTube oleh satu akaun yang bernama Veveonah Mosibin tular di seluruh negara. Video tersebut yang berjudul ‘24 Hours On Tree Challenge’ atau ‘Cabaran 24 Jam Di Atas Pokok’ merupakan sebuah vlog yang dirakam oleh pelajar Asasi Sains di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu untuk menunjukkan perjalanan beliau menghadapi ujian peperiksaan di atas talian di kawasan perkampungannya. Video tersebut mempamerkan kesusahan yang dihadapi beliau dalam menduduki peperiksaan di atas talian tersebut oleh kerana terhadnya talian internet di kawasan kediamannya di Pitas, Sabah. Kepayahan yang tidak terpamer di mukanya menunjukkan bahawa ia merupakan perkara biasa yang dihadapi beliau dalam menjalani situasi sebegini demi mendapatkan rangkaian talian internet. Namun begitu, di bandar juga, rangkaian internet tidak sebagus yang disangka. Ini pula berlaku akibat terlalu banyak pengguna internet tetapi tiang rangkaian yang tidak mencukupi yang membawa kepada terhadnya rangkaian internet. Walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memberi insentif internet sebanyak RM120 kepada pelajar yang berasal dari kalangan B40, ia tidak cukup untuk menampung kos internet untuk menjalani aktiviti pembelajaran di atas talian para pelajar. Di sini boleh dilihat bahawa internet bukan lagi sebuah kemahuan akan tetapi ia sekarang sudah menjadi sebuah kepentingan. Tanpa internet ataupun gajet, tiada kerja yang boleh disiapkan. Sehubungan itu, tidak semua pelajar mempunyai kesenangan memiliki gajet seperti telefon pintar dan komputer sendiri. Ini menghadkan pelajar daripada menjadi produktif. Cadangan baru ini telah tular di media sosial berkenaan seorang nenek yang membawa wang simpanan sebanyak RM270 ke kedai gajet untuk membeli telefon pintar buat cucunya menghadiri kelas di atas talian. Jadi adakah ia adil jika pelajar tidak mendapat peluang yang sama akibat masalah-masalah seperti ini? Namun, terdapat juga kesan baik pembelajaran di atas talian dilakukan. Pelajar tidak perlu untuk melanjutkan semester dengan lebih lama. Oleh itu, pelajar masih boleh menamatkan pengajian tepat pada masanya. Tidak dinafikan bahawa mengalih pembelajaran fizikal kepada atas talian ialah perubahan yang sangat sukar. Dunia digital di Malaysia masih dianggap setahun jagung lagi untuk dijadikan platform bagi aktiviti penting seperti sesi pendidikan. Akan tetapi, ini bukanlah penghalang bagi Malaysia untuk melangkah sedikit demi sedikit ke dalam dunia yang mengutamakan digitalisasi. Ia merupakan langkah yang perlu diambil jika Malaysia ingin lebih maju. Oleh itu, kerajaan boleh cuba mencari solusi yang dapat membantu para pelajar untuk meneruskan pembelajaran dengan lebih tenang dan selesa, serta memberikan peluang yang sama rata kepada pelajar tidak kira tempat mahupun taraf kehidupan. Kelas di atas talian bukan sahaja merupakan sesuatu yang baru bagi para pelajar malah bagi para pengajar juga. Terutamanya pensyarah daripada generasi yang lebih tua, beralih kepada digital sangatlah sukar bagi mereka. Justeru, pembelajaran di atas talian ini secara halusnya mengajar erti kesabaran bagi kedua-dua belah pihak untuk memahami situasi, masalah dan had yang dihadapi sesama masing-masing. Pengalaman seperti ini memaksa seseorang itu untuk melangkah keluar dari zon selesa mereka untuk mencabar diri mencuba sesuatu yang baru demi kebaikan yang berpanjangan. SASARAN EDISI 82 121