Warta KKAP Julai 2013 Jul. 2013 | Page 14

JABATAN KEJURUTERAAN DAN KEMAHIRAN | UNITTEKNOLOGIELEKTRIK PERTANDINGAN KEMAHIRAN KOLEJ KOMUNITI (PKKK) 2013 - BIDANG PEMASANGAN ELEKTRIK Kemahiran dan Kebolehan Pelajar Terus Digilap Oleh: Mohd Asri bin Hashim & Lukman Hakimi bin Ab Wahab Pertandingan Kemahiran Kolej Komuniti (PKKK) adalah satu pertandingan kemahiran yang diadakan bertujuan untuk memilih dan mengiktiraf pelajar yang mempunyai kemahiran yang unggul. PKKK ini juga dianjurkan sebagai satu platform untuk memilih pelajar ke Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) Tahun 2014. Justeru, Kolej Komuniti Arau telah menyahut cabaran untuk menyertai Pertandingan Kemahiran Kolej Komuniti (PKKK) 2013 bidang Pemasangan Elektrik yang diadakan di Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka. Pemilihan pelajar untuk ke pertandingan ini agak sukar dilaksanakan memandangkan had umur yang dibenarkan adalah 19 tahun. Namun begitu, pelajar Zulhilmi bin P Ramlee telah dipilih berdasarkan komitmen yang ditunjukkan dengan sentiasa melakukan yang terbaik apabila diberi tugasan atau projek. Walaupun baru berusia 18 tahun tetapi kompetensi serta kemahiran beliau dalam melaksanakan projek pemasangan elektrik jelas apabila melihat hasil projek yang dilakukan. Dua orang pensyarah iaitu En Mohd Asri bin Hashim dan En Lukman Hakimi bin Ab Wahab telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan melatih peserta sebagai persediaan untuk ke Pertandingan Kemahiran Kolej Komuniti (PKKK) Tahun 2013 ini. 14 Pertandingan ini telah diadakan pada 28 hingga 31 Oktober 2013 dengan penglibatan seramai 18 orang peserta dari Kolej Komuniti seluruh Malaysia. Kolej Komuniti Arau telah disenaraikan untuk bertanding pada sidang pertama iaitu pada 29 Oktober 2013. Pertandingan ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir tepat jam 4.00 petang. Dapat dilihat segala strategi dalam latihan telah dipraktikkan sebaik mungkin untuk menyiapkan projek dalam tempoh enam jam. Dari segi kemajuan kerja peserta, Zulhilmi bin P Ramlee boleh dilihat antara tiga peserta yang menyerlah berbanding peserta lain. Sebaik hakim menamatkan pertandingan, para peserta diminta bersedia untuk pemarkahan dan pengujian projek. Walaupun tidak berjaya menempatkan diri dalam kalangan tiga peserta terbaik dari 18 peserta namun kemahuan, komitmen serta semangat yang ditunjukkan boleh dibanggakan. Zulhilmi bin P Ramlee mempunyai peluang yang cukup cerah memandangkan usia yang masih muda dan dengan pengalaman ke pertandingan seperti ini tidak mustahil dia boleh berjaya di pertandingan akan datang. Perancangan yang teliti serta persediaan yang rapi dari segi mental dan fizikal merupakan kunci kepada kejayaan. Justeru, penyertaan pada kali ini telah menunjukkan satu peningkatan yang baik dan momentum ini perlu diteruskan dengan memperkasakan budaya pertandingan berbentuk kemahiran agar dapat diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.