STANDARD PRESTASI PAK21 V1.0 | Page 81

tunjang 3.2 ekosistem sosial yang positif Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM) bagi menyediakan murid menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21. Antara fokus PPPM adalah berkaitan dengan enam (6) aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional. Aspirasi murid ketiga iaitu kemahiran memimpin mempunyai kesinambungan yang tepat dengan agenda pelaksanaan Johor Student Leaders Council (JSLC). JSLC ialah satu organisasi pemimpin pelajar tertinggi di dalam negeri Johor yang menghimpunkan pemimpin pelajar terbaik dari sekolah- sekolah menengah. Melalui aktiviti berbentuk kepimpinan seperti JSLC ini, bakat kepimpinan ini secara tidak langsung dapat diasah di luar bilik darjah. Mengambil kira matlamat meningkatkan kualiti pendidikan khususnya dalam aspek kepimpinan, JSLC dijadikan salah satu daripada tujuh Showcase Jabatan Pendidikan Negeri Johor. JSLC merupakan satu-satunya program kepimpinan murid yang berpusat dan bersistematik di Malaysia. Sejak 2010, kita telah berjaya membentuk satu kumpulan pemimpin muda yang terlatih dan bersedia untuk meneruskan agenda negara di masa akan datang. Oleh yang demikian, JPN Johor telah memperluaskan program ini melalui program Badan Pemimpin Pelajar (Student Leaders Board, SLB). SLB berperanan untuk mengenalpasti, mengumpul, melatih serta menonjolkan pemimpin-pemimpin muda seawal peringkat menengah rendah untuk diketengahkan melalui modul latihan dan projek yang dirangka secara sistematik dan terkawal. Kumpulan pemimpin muda ini akan mengikuti latihan kepimpinan dan di akhir modul latihan ini, mereka perlu melaksanakan projek atau aktiviti mengikut idea mereka sendiri. Selaras dengan moto ‘From the Student, By the Student, For the Student’, inisiatif ini merupakan satu replikasi JSLC di peringkat sekolah untuk mempastikan kelangsungan agenda menyerlahkan dan memupuk kepimpinan murid. Dalam kerangka PAK-21 menerusi tunjang ketiga iaitu ekosistem, pelaksanaan SLB ini menjadi nilai tambah kepada elemen sosial yang membantu ke arah kemenjadian murid. Elemen kepimpinan dalam SLB memerlukan kombinasi 4K iaitu kreativiti, komunikasi, kolaborasi dan berfikiran kritikal agar kualiti kepimpinan yang holistik dapat dibentuk. Setiap elemen 4K ini terkandung di dalam modul pelaksanaan SLB. Contohnya, modul latihan kepimpinan menekankan keupayaan komunikasi berkesan, percambahan idea kreatif dalam perancangan aktiviti, berkolaboratif dengan rakan SLB yang lain dan banyak lagi yang berupaya menepati keperluan 4K. 81