STANDARD PRESTASI PAK21 V1.0 | Page 5

Assalamu’alaikum Waramatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor Perubahan besar yang berlaku dalam sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhannya adalah bermatlamat untuk melonjakkan pencapaian murid. Diakui bahawa setiap proses perubahan dalam transformasi ini memerlukan penghayatan dan pemahaman yang mendalam supaya pendekatan dan strategi baharu dapat digerakkan serta memberi impak kepada setiap murid agar mampu memiliki kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21. Berasaskan kepada Model Hala Tuju Pendidikan Johor iaitu untuk melahirkan modal insan berkualiti yang berstatus global player, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing agar hasrat ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Bersandarkan kepada matlamat strategik yang telah digariskan, ia sebenarnya telah memberikan gambaran yang jelas bahawa penghasilan modal insan berkualiti adalah bermula daripada sekolah kualiti dan barisan kepemimpinan yang berprestasi tinggi. Justeru, usaha yang bersama-sama adalah diperlukan bagi memastikan perubahan yang merangkumi aspek pendekatan pembelajaran murid khususnya dapat ditingkatkan selain latihan berterusan kepada guru bagi memastikan tahap kompetensi berada pada tahap yang dibanggakan. Oleh yang demikian, cita-cita tidak akan tercapai tanpa ada komitmen yang tinggi daripada semua peringkat. Kita tidak boleh menidakkan bahawa ibu bapa dan komuniti juga memberi impak kepada kemajuan murid dan institusi sekolah. Kesepakatan yang dibentuk pastinya dapat mengukuh dan mengaktifkan lagi segala bentuk agenda ke arah pencapaian pendidikan berkualiti. Justeru, Standard Prestasi Sekolah PAK21 yang dibina ini bukan sahaja menjadi panduan kepada JPN, PPD dan sekolah untuk meningkatkan keupayaan masing-masing tetapi juga dapat mengukur sejauhmana pelaksanaan yang telah diusahakan. Saya ingin merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Sektor Pengurusan Akademik dan pasukan pemikir iaitu wakil-wakil sektor, pegawai akademik Pejabat Pendidikan Daerah, SIPartner+ dan SISC+ untuk menyedia dan menerbitkan Standard Prestasi bagi Sekolah Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) ini. Kerja Berkualiti , Ibadah Dihayati. TUAN HAJI SHAHARUDIN BIN SHARIF Pengarah Pendidikan Negeri Johor 5