SEMARAK JAYA EDISI 2/2015 1 | Page 8

SEJARAH SEKOLAH Sebelum Perang Dunia Pertama, seorang pendekar Jawa bernama Kerma Wijaya telah tiba di sini dan mendapati ia sesuai untuk didiami. Beliau telah meneroka hutan di sini dan diganti dengan sawah padi serta dusun. Kerma Wijaya telah berkahwin dengan wanita tempatan dan dikurniakan beberapa anak. Beliau dikenali sebagai Tok Jaya dan tempat ini dinamakan sempena nama tersebut. Sekolah ini pula adalah sempena nama kampung ini. Penubuhan Sekolah Menengah Permatang Tok jaya telah diusahakan oleh YB Datuk Seri Mohd Shariff bin Hj. Omar, Ahli Parlimen Tasek Gelugor memandangkan ketiadaan sebuah sekolah menengah di kawasan Permatang Tok Jaya. Sebelum ini pelajar terpaksa ke Telok Air Tawar atau Kepala Batas yang jauh jaraknya. Sekolah mula dibina pada 1992 di atas kawasan seluas 13 ekar. Sekolah ini telah dibuka untuk pengambilan pelajar pada tahun 1995 dari sekolah rendah berdekatan seperti SK Permatang Tok Jaya, SK Permatang Binjai dan SK Sungai Puyu. Pada tahun penubuhannya sekolah ini mempunyai 6 kelas iaitu 4 kelas tingkatan 1 dan 2 kelas tingkatan 2. Bangunan sekolah terdiri daripada 3 blok tiga tingkat bangunan akademik, 1 blok tiga tingkat makmal sains, dan 1 blok 2 tingkat bengkel Kemahiran Hidup serta sebuah bengkel Sains Pertanian. Penyelaras sekolah pada ketika itu ialah En. Mat Kamil bin Sudin berserta 10 orang guru. Tanggal 2hb Oktober 1995 sekolah ini telah diserahkan secara rasmi oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah ketika itu, Tn. Hj Ibrahim Said. Pengetua pertama sekolah ini ialah Tn. Hj Mohd Azli bin Mohamad. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini sehingga 5 Jun 1998. Pada tahun 2000 Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran telah dibuka di sekolah ini. Pada awalnya, hanya 1 kelas program ini dengan 3 orang pelajar. Pada tahun berkenaan juga pembinaan 2 blok akademik yang baru serta pembinaan 2 blok bangunan asrama, rumah warden dan dewan makan telah dimulakan. Pembinaan siap pada penghujung 2002. Bangunan asrama mempunyai kapasiti 400 orang pelajar dan pengambilan pertama ialah pada tahun 2002. Pada tahun 2003 sekolah ini telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memulakan Program Model Khas yang menggabungkan pendidikan rendah dan menengah di bawah satu bumbung. Pendidikan rendah berkenaan ialah di peringkat Tahap II iaitu Tahun 4, 5 dan 6. Semua pelajar tahap II ini tinggal di asrama bersama pelajar menengah yang lain. Sehingga awal 2007 terdapat sebanyak 38 kelas di sekolah ini. 28 darinya adalah kelas menengah biasa dari Tingkatan 1 hingga 5, 6 kelas pada Tahap II Rendah iaitu dari Tahun 4 hingga Tahun 6 dan 4 kelas Pendidikan Khas. Antara program penting di sekolah ini ialah Kelas Aliran Agama. Jumlah pelajar pula telah mencecah 1100 orang.