@Pancing November 2020 | Page 37

Jika ternampak kawasan berpasir berhampiran batuan pulau , jangan lepaskan peluang untuk menguji kehadiran Kerapu Pisang !

Karauan laju sepanjang hari memang memenatkan . Setiap lontaran berharga dan membawa harapan . Terlambat terlepas , tersasar melepas . Begitulah peluang yang perlu dimanfaatkan ketika mencari sentapan penunggu pulau .

Abang Amir tidak berputih mata kerana berjaya mendaratkan GT hasil usaha tidak henti beliau sejurus menukar gewang kepada warna ‘ red head ’.

Kunjungan julung-julung kali rakan-rakan dari Melaka dengan hasrat mengilat di pinggiran pulau direalisasikan dan berakhir dengan terpahatnya satu memori indah di kalangan mereka . Sasaran seperti GT , Kerapu Pisang dan Tenggiri muncul seperti mana yang dihajatkan .

SETUP ASAS
Penggunaan kekili spinning diperlukan untuk membuat balingan pantas dan mengurangkan masalah kekusutan tali apabila perlu melontar gewang dari semua arah tiupan angin . Selain itu drag kekili jenis ini mampu ditegangkan maksima bagi mengekang tujahan padu ikan sasaran .
Kekili dengan nisbah putaran gear yang tinggi perlu bagi memastikan karauan laju dapat dilakukan tanpa menjadi terlalu penat . Oleh itu gewang yang digunakan juga perlu stabil dan mempunyai bibir selaman yang cetek supaya tidak terlalu menjadi beban .
Joran yang panjang dan bersifat aksi pantas ( fast action ) perlu digunakan bagi membolehkan gewang dilontar jauh dan meningkatkan peratus tancapan mata kail selain penting bagi mengawal larian ikan .
SAMBARAN DI TEPI PULAU
Kehadiran kami nampaknya memang dialualukan penghuni kepulauan ini . Dengan hanya beberapa kali balingan , gewang yang disuakan Pak Wan mendapat sambaran dari dasar di tepi pulau dan berhasil mendaratkan ikan sasaran iaitu Kerapu Pisang .
Selang beberapa ketika , beliau sekali lagi memecah kesunyian dengan larian padu ikan Tenggiri setelah beliau membuat karauan laju di sebelah luar pulau . Setelah berpindah ke pulau seterusnya , beberapa ekor GT berjaya diperoleh dan menaikkan semangat semua ahli komplot .
SUNGAI
Pada waktu tengahari saya mengambil sedikit masa untuk menyusuri sebatang sungai di sebuah pulau berhampiran . Memandangkan waktu itu air pasang besar , saya mengambil peluang untuk masuk dan menguji penghuni sungai ini dimana pada waktu air surut , muara sungai ini hanya boleh dilalui oleh bot kecil sahaja .
Semua menggunakan popper manakala Abang Amir menggunakan gewang selaman cetek . Balingan di belakang popper yang digayakan rakannya membuahkan hasil ikan Kerapu Bakau setelah ikan tersebut tersasar apabila menyambar popper dan akhirnya dibilas menggunakan gewang selaman milik beliau .
@ pancing • November 2020 • 37