@Pancing November 2020 | Page 20

PADANG PANCING SLOW JIGGING TERKENAL

@ Air Masin

MOHD HUZAINI MOHD ZAMR ( mhdhuzaini @ gmail . com )

Sensasi Tanjung Karang

PADANG PANCING SLOW JIGGING TERKENAL

Slow jigging sudah menjadi fenomena . Ramai rakan-rakan yang terjebak sehingga terus meninggalkan aktiviti mengilat . Siapalah boleh tahan asyik melihat rakan-rakan menaikkan ikan-ikan gred A seperti Jenahak dan Kerapu dengan jig ?

Tenggiri pertama yang berjaya didaratkan oleh Basri .
Saya bersama Jenahak idaman dan Shamsul dengan Boron terbesar trip .
Jig dengan warna yang terang memberi kelebihan di dalam air pada kedalaman 70 meter .

Lambakkan video di Youtube juga merancakkan serta menambah lagi racun terhadap aktiviti ini . Tambahan pula lagi lokasi permainannya tidak jauh dari ibu kota iaitu di Tanjung Karang Selangor yang terletak kira kira 1 jam perjalanan dari Kuala Lumpur .

Setelah kejayaan pada bulan Mei yang lalu dengan menaikkan Jenahak sebanyak 10 ekor dan 3 ekor GT dengan slow jigging . Kami sempat menempah bot dengan tekong tersohor yang mesra dengan panggilan “ Tekong Wawik ”. Selang beberapa hari , tekong menentukan pertengahan September dipilih kerana air pasang perlahan untuk menduga spesies dasar .
Dengan semangat berkobar-kobar segala senjata perang masing-masing dipersiapkan dengan kemas agar tidak akan berputih mata kelak . Kekili mendatar dipadankan dengan joran jigging PE1-3 . Tali utama dan tali perambut berkekuatan 30 hingga 40lb sudah memadai . Jig 100 hingga 250g digunakan bersama assist hook saiz 5 / 0 yang diikat dengan Kevlar 200lb .
Seawal 6.30 pagi kami tiba di pekan Tanjung Karang . Ramalan cuaca menunjukkan cuaca yang baik untuk memancing setelah beberapa hari hujan dan ribut berlaku . Tepat jam 7.30 pagi bot meninggalkan jeti . Perjalanan menggunakan bot sepanjang 40 kaki dengan enjin 300hp berkembar memakan masa 1 jam untuk sampai ke lokasi pertama . Masing-masing mengambil kesempatan untuk melelapkan mata sejenak .
PESTA TENGGIRI
Tekong memberitahu bahawa lubuk pertama berkedalaman 30m dihuni Tenggiri . Maka saya mengeluarkan set jigging ringan saya , kekili spinning C5000XG dipadankan dengan joran PE 2-4 . Saya menggunakan heavy sinking minnow warna putih berkepala merah 40g .
Gewang dilontar dan dibiarkan tenggelam hingga ke dasar lalu dikarau laju sehingga ke permukaan . Setelah beberapa kali lontaran , kami dikejutkan dengan jeritan Basri , “ Kena !”, jig seberat 80g warna peraknya diragut kasar Tenggiri . Kekili mendatar 1500HG dengan joran PE 2.5 tidak mempunyai masalah menaikkan ikan tersebut .
Selepas itu riuh di hadapan bot pula Shamsul menaikkan Tenggiri yang lebih kurang sama saiznya . Tanpa membuang masa , saya tukar kepada jig warna perak juga . Sedang menurunkan tali , tiba-tiba terasa ringan , rupanya jig telah dipotong Tenggiri !
Selang beberapa minit , di depan bot Wak juga berjaya menaikkan Tenggiri . Basri sekali lagi berjaya mendapatkan strike Tenggiri ketika saya leka memilih jig . Fendi dan Hisham juga mendapat sambaran , tetapi ikan berjaya meloloskan diri .
Saya dan Ijam masih tidak mendapat sambaran . Tidak mengapa , hari masih awal , pujuk hati sendiri . Tekong bertukar ke spot seterusnya untuk mencari penghuni dasar apabila Tenggiri mula tidak mengendahkan jig kami setelah beberapa kali lucut dan putus .
TUKAR LOKASI
Sejam perjalanan , kami tiba di tempat yang dituju . Air tenang macam cermin dan arus perlahan . Bot berhanyut melalui lubang yang telah dikenal pasti melalui sonar . Jig 60g pun boleh sampai ke dasar . Pembantu tekong , Ejai yang menggunakan jig berbentuk sotong , handmade dari Bali mendapat sambaran padu . Melentuk-lentuk joran tempahan khasnya ditekan penghuni dasar .
20 • November 2020 • @ pancing