@Pancing May 2021 | Page 10

Manfaatkan cuaca panas . Lau kahui yang menaikkan jenahak semasa cuaca masih panas di awal pagi .
Strike ! Cuaca yang panas membantu menaikkan peluang strike walaupun air keruh dan berkelodak !
Siakap Merah ini berjaya saya naikkan selepas hujan lebat walaupun air sudah mulai keruh .
Double strike dari Zack dan Zul . Jangan sangka air keruh tiada ikan !
Belukang sememangnya salah satu spesis wajib menyambar gewang semasa air keruh dan sejuk .
Zul berjaya menjinakkan Alu-alu menggunakan gewang warna parrot .
PASANG SURUT
Jadual pasang surut bagi kawasan pancingan adalah amat perlu bagi anda mengetahui waktu yang sesuai untuk memancing semasa monsun . Waktu yang terbaik ialah semasa air baru naik pasang , kerana air yang masuk lebih jernih dan membawa ikan-ikan dari muara masuk ke kawasan hulu sungai .
Hal ini amat penting kerana semasa monsun ini , kebiasaannya air sungai akan menjadi keruh dan berkelodak . Air pasang yang mengalir masuk ke sungai biasanya lebih jernih dan ikan-ikan lebih senang mengesan gewang ketika ini .
Manfaatkan setiap kali melalui ceruk-ceruk sungai yang mempunyai air yang jernih . Di kawasan seperti inilah kami sering casting atau trolling . Kebiasaannya air di kawasan yang jernih ini adalah lebih dalam dan tenang , sekaligus menjadikan ia kawasan yang sesuai untuk ikan pemangsa mencari mangsa .
Selain itu juga , terdapat sesetengah kawasan yang hanya dihuni ikan pemangsa pada waktu air pasang dan ada juga kawasan lain dihuni ikan sewaktu air surut . Di sinilah pengalaman dan pengetahuan sesuatu lubuk dan arus pasang surut memainkan peranan .
GEWANG
Gewang yang sesuai juga memain peranan penting dalam kejayaan trip seperti ini . Air yang keruh dan berkelodak sememangnya menjadi masalah kepada pemancing . Semasa trip monsun ini , hujan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan . Sekiranya air sungai keruh , maka penggunaan gewang berwarna terang atau fluorescent adalah menjadi pilihan kami .
Warna-warna gewang seperti hijau , jingga , dan kuning adalah pilihan yang sesuai untuk digunakan semasa keadaan hujan dan air keruh . Manakala sekiranya hari panas dan cahaya matahari yang terang , tetapi air sungai keruh dan berkelodak , penggunaan gewang yang memantulkan cahaya seperti warna metalik akan kami gunakan . Hal ini kerana cahaya matahari yang berjaya menembusi air sungai yang keruh akan terpantul pada gewang dan akan menarik perhatian ikan pemangsa .
Kebiasaannya kami akan trolling gewang kerana ia membantu menjimatkan masa meneroka setiap ceruk sungai . Selain itu penggunaan gewang yang mampu menghasilkan bunyi yang kuat ( ball bearing ) serta aksi renangan yang meliar amat membantu dalam ‘ misi muara monsun ’.
Perkongsian ini dibuat berdasarkan pengalaman saya semasa beberapa trip monsun yang lepas . Ia juga boleh dipraktikkan ketika hujan lebat semasa trip . Sekurang-kurangnya anda masih berpeluang untuk membawa sedikit hasil tangkapan dan merasa secebis strike .
Sekiranya hujan lebat turun sebelum trip , eloklah ditunda trip tersebut demi keselamatan . Namun , sekiranya anda tengah memancing dan hujan telah turun dengan lebatnya , ataupun hujan lebat sehari sebelum trip maka anda boleh cuba tips hasil perkongsian saya ini . Semoga kita semua dilindungi dari segala bahaya dan sentiasa mendapatkan strike semasa trip ! — @ Pancing
Kenal pasti lubuk anda . Kawasan ini hanya dihuni ikan apabila air pasang penuh .
Pertanyaan : KHAIROL : 014-376 7323
10 | Mei 2021 | @ pancing