“Abang, Amir tahu memang susah untuk abang berhenti berjudi dan meminjam wang
daripada pemiutang wang haram tetapi abang mesti berfikir tentang ibu bapa kita. Ibu telah
membesarkan kita dengan penuh kasih sayang dan dengan harapan bahawa kita menjadi orang
yang berguna dan berjasa kepada mereka dan masyarakat. Ayah pula ringan tulang untuk
menyara kehidupan kita sekeluarga. Dia memegang dua jawatan semata-mata untuk membayar
hutang abang. Saya berharap abang akan mendengar nasihat saya,” Amir berkata kepada
abangnya sambil memandangnya dengan penuh harapan.
Abang Amir termenung sejenak. Setelah berfikir, abangnya bersuara. Suaranya terketarketar. Air matanya memenuhi kelopak matanya. Dia meluahkan perasaannya kepada Amir.
“Amir, Abang minta maaf. Abang sedang cuba berubah. Semalam apabila pintu rumah
kita dijilat api, abang bertekad hendak berubah. Abang tidak mahu menyesal kemudian apabila
ahli keluarga abang diapa-apakan. Abang juga berasa sedih melihat ibu bapa malu menghadapi
jiran-jiran. Abang akan cuba sedaya upaya untuk berubah. Namun, ketagihan seperti ini akan
mengambil masa untuk pulih. Abang harap Amir, ibu dan ayah tidak jemu memberi abang
sokongan,” kata abangnya.
Amir dan abangnya mendakap satu sama lain. Perasaan kasih sayang tidak pernah pudar
di antara dua beradik ini. Harapan yang positif berputik di dalam hati Amir kerana dia yakin
abangnya akan berubah.
Ding! Dong! Kedengaran loceng pintu rumah Amir berbunyi. Amir tersentak daripada
lamunannya dan kembali ke alam realiti. Dia melihat ke arah pintu rumahnya dan senyuman
terukir di bibirnya. Abangnya sudah pulang dari tempat kerjanya. Kini, dua tahun kemudian,
abang Amir sudah berubah. Dia sekarang memegang jawatan sebagai seorang guru. Pintu hati
Amir diketuk kegembiraan. Pemiutang wang haram tidak lagi mengganggu mereka. Amir
bersyukur kerana abangnya sudah insaf dan berubah. Abang Amir sedar bahawa dia seharusnya
berubah sebelum sesuatu perkara yang buruk berlaku terhadap dirinya dan ketika itulah masa
untuk menyesal sudah terlambat bak peribahsa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada
gunanya.
Amir akan sentiasa mengingati peristiwa itu, bukan kerana kepahitannya sahaja tetapi
tentang kemanisannya juga kerana sesuatu yang baik telah berputik daripada peristiwa itu.
Hubungan Amir sekeluarga semakin erat dan Amir berasa bangga bahawa keluarganya telah
berjaya mengatasi masalah yang besar sebegitu. Setiap ahli keluarga telah memainkan peranan
dalam perubahan dalam diri abang Amir bak pantun pusaka berikut,
Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang;
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang payah menjadi senang.
55
1