PUBLIC FORUM
TANGISAN ROHINGYA:
TIADA SIAPA YANG PEDULI
Forum Awam - Tangisan Rohingya : Tiada Siapa yang Peduli? telah diadakan pada 26 November 2016 bertempat di Dewan Bankuasi, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya.
Forum awam ini membincangkan isu dan cabaran masyarakat Rohingya di dunia amnya dan di Malaysia secara khususnya. Tujuan forum ini dijalankan adalah untuk memikirkan penyelesaian yang sebenarnya diperlukan oleh masyarakat Rohingya. Tiga tetamu yang telah dijemput untuk menjadi panel bagi forum ini ialah En. Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi yang merupakan Presiden Majlis Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia dan juga merupakan individu yang banyak memperjuang dan membantu nasib masyarakat Rohingya, panel kedua merupakan pengarang kanan di ASTRO Awani dan juga merupakan seorang pelajar bagi ijazah kedoktoran di Universiti Malaya yang menjadikan isu masyarakat Rohingya ini sebagai kajian utama beliau iaitu Puan Azlinariah Abdullah. Turut dijemput En. Abdul Ghani Abdul Rahman selaku Timbalan Presiden Persatuan Rohingya di Malaysia. Forum ini dikendalikan oleh En. Dzulfitri Yusop (pengacara terkenal Astro Awani) selaku moderator bagi forum ini.
Forum ini dimulakan oleh Puan Azlinariah selaku panel pertama bagi forum ini. Video “Selamat Malam Rohingya” terpasang sebagai pembuka bicara, dan beliau memulakan hujahan beliau dengan menceritakan pengalaman bersama masyarakat Rohingya ini dan seksaan demi seksaan yang telah mereka lalui. Forum ini diteruskan dengan panel kedua di mana En. Abdul Ghani menceritakan pengalaman beliau sendiri dan juga serba sedikit sejarah Rohingya kepada para peserta yang hadir. Terpalit dan terlihat kesedihan di wajah beliau dan juga para hadirin yang hadir. Beliau mengharap agar keadilan kepada warga Rohingya dapat diraih. Seterusnya, tuan moderator telah menjemput panel ketiga, Cikgu Azmi untuk meneruskan dengan hujah beliau. Cikgu Azmi memulakan hujah beliau dengan menerangkan terma genosid dan kaitannya dengan Rohingya. Beliau turut menjelaskan rancangan beliau untuk memastikan keadilan kepada masyarakat Rohingya ini dapat dituntut.
Akhir kata, forum ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan sama ada warga Universiti Malaya mahupun umum. Pusat Dialog Peradaban juga telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM500.00 untuk didermakan bagi membantu mereka yang memerlukan. Hasil sumbangan ini telah diserahkan kepada Cikgu Azmi untuk beliau meneruskan usahanya membantu masyarakat Rohingya.
7 | UMCCD Bulletin Dec 2016 - Jun 2017