al-Siha : April 2018 (Issue 1) | Page 19

PENA PAKAR
APRIL, 2018 | al-Siha 19
PENA PAKAR

Kelahiran: Apa yang anda perlu tahu

MENIMANG cahayamata adalah saat yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan setelah hamil selama 9 bulan. Akan tetapi sebelum bayi comel dilahirkan, si ibu harus melalui proses kelahiran terlebih dahulu. Proses kelahiran menimbulkan berbagai perasaan, terutamanya kebimbangan dan ketakutan. Ramai yang takut dengan kesakitan yang bakal dialami. Tetapi, ada juga yang terlalu bersahaja atau `cool’ sehinggalah mereka mengalami kesakitan, dan pada waktu itu panik.

ELAHIRAN adalah satu proses di mana kontraksi

K

( pengecutan berkala) rahim akan mendorong kepada pembukaan pintu rahim, untuk membolehkan bayi dilahirkan.
Apakah tanda-tanda awal kelahiran? Bila sepatutnya saya perlu ke hospital untuk kelahiran?
Tanda-tanda awal kelahiran ialah:
1. Keluar `tanda’ atau `show’. `Tanda’ ialah lendir yang bercampur dengan sedikit darah, yang keluar melalui faraj si ibu. `Tanda’ adalah tanda yang kurang spesifik. Doktor tidak dapat meramalkan bila si ibu akan bersalin selepas `tanda’ dikeluarkan. Ada yang bersalin setelah beberapa jam, ada yang bersalin selepas seminggu! Oleh itu, jika si ibu hanya mengalami `tanda’, tanpa sakit kontraksi, beliau tidak perlu untuk ke hospital lagi. Tunggulah sehingga beliau mengalami kontraksi.
2. Kontraksi. Kontraksi ialah kesakitan di bahagian perut / rahim yang disebabkan oleh pengecutan berkala otot rahim. Kesakitan yang dirasai adalah seperti `cramp’ yang dialami di betis. Pada masa yang sama, si ibu akan merasa rahimnya menjadi keras. Kontraksi bertujuan untuk membuka pintu rahim dan untuk menolak bayi turun untuk melalui rongga faraj. Tanpa kontraksi, kelahiran tidak mungkin berlaku. Oleh itu, walaupun kontraksi sangat menyakitkan, si ibu harus fokus kepada fungsi kontraksi tersebut.
Pada peringkat awal kelahiran, setiap kontraksi hanya selama 10-20 saat. Selang antara setiap kontraksi pada mulanya mungkin 20 minit. Semakin lama, kontraksi akan menjadi lebih lama dan selang antara setiap kontraksi akan menjadi lebih dekat. Waktu yang sesuai untuk si ibu datang ke hospital ialah bila kontraksinya berlangsung selama 20- 30 saat, dan kekerapan kontraksinya setiap 10 minit.
DR ANNA LIZA ROSLANI
Pakar Obstetrik & Ginekologi, dan Pakar Maternal Fetal Medicine, Kuantan Medical Centre
3. Pecah air ketuban. Istilah yang lebih tepat untuk pecah air ketuban ialah `pecah selaput ketuban’. Apabila selaput ketuban pecah, air ketuban akan mengalir keluar daripada faraj, biasanya dalam jumlah yang banyak. Lazimnya, kejadian ini berlaku secara tiba-tiba. Bukan sahaja seluar dalam akan basah, malahan seluar / kain akan basah juga. Jika air ketuban pecah waktu tidur atau baring, cadar dan tilam akan basah juga. Jika hanya sedikit cecair / lender keluar daripada faraj dan si ibu tidak perlu memakai pad, kemungkinan besar cecair itu hanya lelehan daripada faraj dan bukannya air ketuban.
Setiap wanita berbeza, dan setiap kelahiran juga mungkin berbeza. Sesetengah ibu akan mengalami pecah air ketuban dahulu. Sesetengah ibu akan mengalami kontraksi terlebih dahulu. Ada yang tidak pernah mengalami tanda. Waktu yang si ibu harus ke hospital ialah sama ada kontraksi setiap 10 minit, atau air ketuban pecah.
FASA-FASA KELAHIRAN Fasa Pertama

Pada peringkat awal fasa pertama, si ibu akan mengalami kontraksi dan pintu rahim( cervix) akan menjadi lebih lembut, menjadi pendek / nipis, dan mula membuka. Untuk pintu rahim membuka dari 0cm hingga ke 4cm boleh memakan masa beberapa jam atau beberapa hari! Fasa ini dikenali sebagai `latent phase’.

LAWAK MENGUBAT STRES
Iphone: Semalam I jatuh. Sakit tauuuu …. Blackberry: Teruk ke? Android: Lain kali, hatihati … Nokia: Gedik jer. Aku jatuh rilexx jerrr ….
Hanya apabila pintu rahim telah mencapai pembukaan 4cm, `active phase of labour’ telah bermula. `Active phase of labour’ ialah fasa daripada pembukaan 4cm sehingga pembukaan penuh( 10cm). Kontraksi akan menjadi lebih kerap, lebih lama dan lebih sakit. Fasa ini secara umumnya mengambil masa 2-4 jam( untuk wanita yang telah melahirkan beberapa orang bayi terdahulu) dan boleh memakan masa sehingga 12 jam untuk wanita yang melahirkan buat kali pertama.
Jika selaput air ketuban belum pecah, jururawat and doktor mungkin akan pecahkannya sewaktu `active phase of labour’.
Fasa Kedua

Setelah pintu rahim terbuka sepenuhnya( 10cm), bermulanya fasa kedua di mana kepala bayi akan turun melalui rongga faraj, sehingga bayi dilahirkan. Tugas kontraksi ketika ini ialah untuk menolak bayi turun, dan si ibu perlu memperkuatkan kontraksi ini dengan cara meneran serentak. Untuk meneran, si ibu perlu menahan nafas dan meneran( seperti meneran waktu membuang air besar!) selama yang mungkin sehingga putus nafas. Sewaktu kepala bayi hampir dilahirkan, jururawat atau doktor akan memeriksa untuk memastikan jika perlu membuat potongan kecil `episiotomy’ di pembukaan / mulut faraj( perineum) untuk mengelak daripada mengalami kekoyakkan yang besar. Suntikan bius akan diberikan terlebih dahulu sebelum potongan tersebut dilakukan.

Setelah kepala bayi dilahirkan, jururawat / doktor akan membantu untuk lahirkan badan bayi. Kemudian, tali pusat bayi dipotong selepas 1-3 minit.
Fasa Ketiga

Selepas bayi dilahirkan, jururawat / doktor akan memberi suntikan syntometrine di peha atau bahu si ibu. Tugas suntikan ini ialah untuk mempercepatkan proses pengecutan rahim dan untuk memisahkan uri dari dinding rahim. Jururawat / doktor akan menarik tali pusat perlahanlahan sampai uri dilahirkan.

KESIMPULAN
Sebilangan besar( 75-80 %) wanita hamil akan berjaya bersalin biasa. Akan tetapi, selebihnya akan mengalami komplikasi dan memerlukan bantuan doktor untuk melahirkan bayi dengan cara vacuum-assisted delivery, forceps dan caesarean section. Walau apa cara bayi dilahirkan, yang paling penting adalah keselamatan si ibu dan bayi.